KUALA LUMPUR – Penasihat DAP Lim Guan Eng memuji ketegasan Menteri Wilayah Persekutuan,MBHannah Yeoh, yang mempertahankan pendirian DAP menolak pemberian tahanan rumah kepada bekas Perdana MenteriNDatuk Seri Najib Razak, selain tidak berganjak mempertahankan keputusan kerajaan memperbaharui pajakan Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH) selama 99 tahun.
Guan Eng berkata, Hannah menyatakan bantahan terhadap pemberian tahanan rumah kepada Najib secara tegas dan jelas ketika menghadiri pendengaran Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan pada 18 September 2026.
Perkara itu didedahkan menerusi minit mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan yang telah dinyahklasifikasikan dan dipengerusikan Yang di-Pertuan Agong.
Menurut Guan Eng, meskipun keberatan, Hannah tetap menandatangani perisytiharan pengampunan selepas diperintahkan oleh Yang di-Pertuan Agong.
“Hannah telah melaksanakan tanggungjawabnya bukan sahaja sebagai pemimpin DAP, tetapi juga tanggungjawab sebagai menteri dengan memberikan taat setia sepenuhnya kepada Yang di-Pertuan Agong,” katanya dalam kenyataan media pada Jumaat.
Beliau berkata, ketegasan, kepimpinan bertanggungjawab dan sikap adil Hannah turut terserlah menerusi keputusan kerajaan memperbaharui pajakan KLSCAH selama 99 tahun dengan premium tanah nominal RM1,000 berbanding anggaran asal RM4.67 juta.
Katanya, Hannah berdepan kritikan hebat daripada kumpulan dan individu tertentu yang cuba menjadikan keputusan berkenaan sebagai isu perkauman.
“Hannah telah menunjukkan bahawa beliau tidak akan dibuli oleh ekstremisme dan perkauman sedemikian,” katanya.
Guan Eng berkata, pengurangan premium tanah kepada RM1,000 dibuat berdasarkan status KLSCAH sebagai bangunan warisan yang tidak boleh dibangunkan untuk tujuan komersial.
Beliau berkata, keputusan itu perlu dinilai berdasarkan merit dan status hartanah berkenaan, bukannya dipengaruhi sentimen yang boleh mencetuskan ketegangan kaum.
“Rakyat Malaysia memerlukan pemimpin dan menteri yang menjalankan tugas serta tanggungjawab berdasarkan merit sesuatu perkara, bukannya mudah dipengaruhi sentimen berbaur hasutan dan retorik provokatif,” katanya.
Beliau berkata, pendirian Hannah dalam kedua-dua isu berkenaan memperlihatkan kepentingan membuat keputusan berdasarkan prinsip dan pertimbangan sewajarnya meskipun berdepan kritikan serta tekanan.



