Malaysia komited capai pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050 – Arthur Kurup

ANTALYA, TURKIYE – Malaysia menegaskan komitmen untuk mencapai pelepasan gas rumah hijau sifar bersih menjelang 2050, dengan sasaran mengurangkan pelepasan karbon negara sebanyak 15 hingga 30 juta tan setara karbon dioksida menjelang 2035.

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata, komitmen itu diperkukuh melalui Sumbangan Ditentukan Negara (NDC 3.0) yang menetapkan sasaran pelepasan gas rumah hijau negara mencapai tahap kemuncak antara 2029 hingga 2034 sebelum memasuki fasa pengurangan mutlak.

Menurut beliau, pencapaian sasaran tersebut memerlukan tindakan dasar yang tegas, pelaburan berterusan dan pelaksanaan bersepadu merentas semua sektor ekonomi negara.

“Malaysia kekal teguh dengan komitmen untuk mencapai pelepasan gas rumah hijau sifar bersih menjelang 2050.

“Komitmen ini diperkukuh melalui NDC 3.0 yang menggariskan sasaran pelepasan negara mencapai kemuncak antara 2029 hingga 2034, diikuti pengurangan mutlak sebanyak 15 hingga 30 juta tan setara karbon dioksida menjelang 2035,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Penutupan Rasmi Pavilion Malaysia sempena Persidangan Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Ke-31 (COP31) di Antalya, Türkiye, hari ini.

Majlis berkenaan turut diserikan dengan keberangkatan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah.

Arthur merafak sembah menjunjung kasih atas keberangkatan Seri Paduka Baginda yang disifatkan sebagai dorongan penting kepada delegasi Malaysia dalam memperkukuh usaha pemeliharaan alam sekitar dan menangani perubahan iklim.

Dalam ucapannya, beliau berkata Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) sedang memperkukuh kerangka tadbir urus iklim negara melalui beberapa inisiatif strategik.

Antaranya ialah Dasar Pasaran Karbon Kebangsaan (DPKK), cadangan Rang Undang-Undang Perubahan Iklim Negara, Laporan Ketelusan Dwitahunan serta Pelan Adaptasi Kebangsaan Malaysia (MyNAP).

Usaha tersebut turut dilengkapi cadangan Pelan Tindakan Peralihan Adil, Pelan Tindakan Gender serta Strategi Kewangan dan Pelaburan di bawah NDC 3.0.

Menurut Arthur, langkah berkenaan bertujuan meningkatkan akauntabiliti, menggerakkan pembiayaan iklim dan mempercepat peralihan negara kepada ekonomi rendah karbon yang lebih berdaya tahan terhadap perubahan iklim.

Beliau turut menegaskan bahawa negara membangun memerlukan akses yang adil kepada pembiayaan, teknologi dan pembangunan kapasiti bagi memenuhi komitmen perubahan iklim masing-masing.

Sepanjang dua minggu penyertaan Malaysia dalam COP31, delegasi negara telah mengadakan rundingan pelbagai hala, pertemuan dua hala serta libat urus strategik bersama negara ASEAN dan rakan antarabangsa.

Malaysia turut mengetengahkan kepentingan tindakan iklim yang bercita-cita tinggi tetapi adil, dengan mengambil kira keperluan pembangunan dan kemampuan negara membangun.

“Pendirian Malaysia adalah jelas. Aspirasi iklim mesti diterjemahkan kepada tindakan konkrit yang disokong kerjasama antarabangsa yang kukuh, akses sumber yang saksama dan hasil yang boleh diukur serta memberi manfaat kepada manusia dan alam sekitar,” katanya.

Sementara itu, Arthur berkata Pavilion Malaysia di COP31 yang membawa tema *Climate Action Now: Driving Resilient Growth* menjadi platform penting untuk memperkukuh kerjasama antarabangsa dan membuka peluang pelaburan mampan.

Menurut beliau, pavilion tersebut bukan sekadar mempamerkan pencapaian negara, sebaliknya menjadi wadah pertukaran kepakaran, pembangunan kerjasama strategik serta penerokaan peluang baharu dalam ekonomi hijau.

Penyertaan Malaysia dilaksanakan melalui pendekatan keseluruhan negara yang melibatkan tujuh kementerian dengan tujuh kluster tematik, selain Johor sebagai negeri rakan.

Kluster berkenaan merangkumi kewangan dan ekonomi, perdagangan dan industri, bandar dan komuniti, pembangunan mampan, tenaga dan air, sumber asli serta agrikomoditi.

Antara kementerian yang terlibat ialah Kementerian Kewangan, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Kementerian Ekonomi, Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, NRES serta Kementerian Perladangan dan Komoditi.

Arthur berkata pelbagai sesi perbincangan di Pavilion Malaysia memberi tumpuan kepada daya tahan iklim, pertanian mampan, tenaga bersih, pemuliharaan biodiversiti, pasaran karbon dan pembiayaan iklim.

Kerjasama yang terjalin sepanjang persidangan itu turut membuka ruang kepada pelaburan mampan serta memperkukuh hubungan Malaysia dengan negara ASEAN dan rakan antarabangsa.

Beliau turut memaklumkan bahawa Malaysia telah menyampaikan kenyataan negara pada persidangan tersebut sehari sebelumnya, dengan menegaskan kepentingan pembiayaan iklim yang saksama, pemindahan teknologi, pembangunan kapasiti dan kerjasama antarabangsa.

Menurutnya, tindakan global menangani perubahan iklim perlu mengambil kira keadaan serta keutamaan pembangunan negara yang berbeza, khususnya negara membangun.

Arthur berharap hubungan dan kerjasama yang dibentuk sepanjang COP31 akan diteruskan selepas persidangan berakhir supaya komitmen perubahan iklim dapat diterjemahkan kepada tindakan yang memberikan manfaat nyata.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada seluruh delegasi Malaysia, termasuk Bahagian Perubahan Iklim NRES, Malaysian Green Technology and Climate Change Corporation (MGTC), kementerian dan agensi kerajaan serta rakan strategik yang menjayakan penyertaan negara sepanjang persidangan berkenaan.
– Suara.TV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat