KUALA LUMPUR – Seorang lelaki tempatan maut dalam kejadian berbalas tembakan dengan polis di Jalan Persiaran Lembah Perpaduan, Ipoh, kira-kira jam 2.30 pagi tadi.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M Kumar berkata, dalam kejadian itu, anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman dan Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Perak pada mulanya bertindak menahan kenderaan yang dipandu suspek ketika menjalankan rondaan cegah jenayah samun di sekitar Ipoh.
Bagaimanapun, menurutnya, suspek telah bertindak keluar dari kenderaan untuk melarikan diri dan melepaskan beberapa das tembakan ke arah polis.
“Polis telah membalas tembakan untuk menyelamatkan diri sehingga tiada ancaman keselamatan.
“Seorang suspek warga tempatan telah disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan kira-kira jam 3.40 pagi dan sepucuk senjata api berupa pistol dijumpai berhampiran suspek,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah beliau, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan iaitu cubaan membunuh yang mana jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun dan sekiranya menyebabkan kecederaan kepada seseorang, boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun.
Menurutnya, siasatan turut dijalankan di bawah Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 iaitu melepaskan tembakan daripada sesuatu senjata api dengan niat hendak menyebabkan kematian atau kecederaan kepada seseorang, dan jika disabitkan kesalahan hendaklah dihukum mati.
“Kes masih dalam siasatan pihak polis dan orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat spekulasi atau membuat sebarang komen yang boleh mengganggu proses siasatan atau memanipulasi fakta dengan tujuan menyebabkan kegusaran kepada masyarakat,” katanya.
Tambah beliau, sidang media akan diadakan di IPK Perak pada jam 3 petang hari ini bagi memberikan penjelasan lanjut berhubung kejadian itu.



