Rafizi digesa bubar Bersama dan penyokong disaran kembali sertai PH – pengasas PKR

KUALA LUMPUR – Parti Bersama pimpinan Datuk Seri Rafizi Ramli digesa dibubarkan susulan prestasi hambar pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, dengan penyokongnya disaran kembali menyertai Pakatan Harapan (PH) bagi meneruskan agenda reformasi dari dalam gabungan itu.

Pengasas PKR Ng Lum Yong berkata, desakan pembubaran itu dibuat berdasarkan pencapaian Bersama yang hanya memperoleh 4.3 peratus undi popular berbanding sasaran 15 peratus, selain 15 daripada 16 calonnya kehilangan wang deposit.

Beliau berkata, keputusan berkenaan menunjukkan tahap penerimaan pengundi terhadap ideologi dan perjuangan parti itu masih lemah.

“Tutup kedai adalah jalan terbaik buat parti Kancil, bubar sahaja parti tersebut dengan berlandaskan keputusan dua PRN yang lalu,” katanya memetik Utusan.

Menurut Lum Yong, pembubaran Bersama juga dapat mengelakkan pembaziran wang, tenaga calon dan sukarelawan dalam perjuangan politik yang didakwanya tidak mendapat sokongan majoriti pengundi Melaka.

“Ia bagi mengelakkan pembaziran wang, tenaga calon dan sukarelawan yang berjuang untuk sesuatu yang ditolak secara majoriti oleh rakyat Melaka dan bakal berdepan nasib yang sama di mana-mana negeri lain selepas ini,” katanya.

Beliau turut berpandangan penyokong Bersama boleh kembali menyertai PH sekiranya parti itu dibubarkan, sekali gus meneruskan tuntutan terhadap pelaksanaan agenda reformasi melalui gabungan berkenaan.

Gesaan itu turut menyusul kenyataan bekas Ketua DAP Melaka Damian Yeo yang sebelum ini meminta ahli Bersama, parti serpihan PKR, kembali menyertai PH bagi mengelakkan perpecahan politik terus melemahkan agenda reformasi.

Damian berkata, PH telah melalui perjuangan panjang dan membuat pelbagai pengorbanan yang tidak sepatutnya disia-siakan akibat perbezaan pendapat sehingga membawa kepada perpecahan berpanjangan.

Mengulas perkara itu, Lum Yong berkata, tuntutan reformasi dari dalam PH lebih berkesan berbanding memperjuangkannya di luar gabungan berkenaan.

“Pastinya menuntut agenda reformasi dilaksanakan dari dalam adalah lebih berkesan daripada menjerit-jerit di luar dan dianggap musuh kepada PH, jika mereka benar-benar sayang dan mahu laksanakan agenda reformasi,” jelasnya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat