KUALA LUMPUR – Tindakan Tony Pua mendedahkan minit Mesyuarat Lembaga Pengampunan berkaitan pengampunan Datuk Seri Najib Tun Razak perlu disiasat segera kerana berkemungkinan membabitkan pelanggaran undang-undang berkaitan isu 3R, selain disifatkan sebagai perbuatan tidak menghormati institusi Yang di-Pertuan Agong.
Naib Presiden Umno Datuk Seri Diraja Wan Rosdy Wan Ismail berkata, tindakan itu menimbulkan persoalan serius apabila kebebasan dan ruang yang diberikan disalahgunakan sehingga mengetepikan batas, adab serta tanggungjawab menghormati institusi negara.
Beliau menyifatkan keadaan itu sebagai ‘kaduk naik junjung’ dan menegaskan institusi Raja-Raja Melayu tidak seharusnya diperlakukan sedemikian rupa, apatah lagi dijadikan bahan polemik politik.
“Jangan sampai berlaku keadaan ‘kaduk naik junjung’, apabila kebebasan dan ruang yang diberikan disalahgunakan sehingga terlupa akan batas, adab dan tanggungjawab menghormati institusi negara,” katanya dalam kenyataan.
Menurut Menteri Besar Pahang itu, kuasa pengampunan merupakan kuasa prerogatif Yang di-Pertuan Agong sebagaimana termaktub dalam Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan.
Justeru, beliau memandang serius pendedahan minit mesyuarat berkenaan kerana dilihat sebagai satu perbuatan yang tidak menghormati institusi Seri Paduka Baginda.
Pada masa sama, beliau membangkitkan persoalan besar mengenai keselamatan, kerahsiaan dan tatakelola dokumen kerajaan susulan pendedahan dokumen berkaitan prosiding rasmi Lembaga Pengampunan itu.
“Bagaimana dokumen yang berkaitan dengan prosiding rasmi Lembaga Pengampunan boleh didedahkan kepada umum? Siapakah yang bertanggungjawab terhadap dokumen tersebut dan apakah prosedur penyahklasifikasiannya?” soalnya.
Sehubungan itu, Wan Rosdy menggesa pihak berkuasa menjalankan siasatan segera terhadap perkara berkenaan, termasuk meneliti kemungkinan pelanggaran undang-undang berkaitan isu 3R serta aspek keselamatan dan kerahsiaan dokumen kerajaan.
Beliau turut menegaskan bahawa tindakan sewajarnya mesti diambil tanpa pilih kasih sekiranya siasatan mendapati berlaku pelanggaran undang-undang atau prosedur.
“Perbezaan politik bukan lesen untuk memperlekeh institusi Raja-Raja Melayu. Menghormati Yang di-Pertuan Agong dan menjaga kerahsiaan dokumen kerajaan adalah soal prinsip, kedaulatan undang-undang serta tanggungjawab terhadap negara,” katanya.



