KUALA LUMPUR – Barisan Nasional (BN) meminta semua pihak memberi ruang kepada proses penyelesaian kemelut politik di Negeri Sembilan, termasuk isu membabitkan jawatan Menteri Besar, tanpa merumitkan keadaan dengan kenyataan yang boleh mencetuskan salah faham.
Setiausaha Agung BN Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, semua pihak perlu membiarkan proses berkenaan berjalan dengan baik tanpa mengeluarkan kenyataan lanjut yang berisiko disalah tafsir.
“Saya fikir kita tidak perlu lagi merumitkan keadaan. Biarlah proses berjalan dengan sebaik-baiknya.
“Saya tidak mahu membuat kenyataan yang nanti disalah anggap lagi. Biar kita serahkan melalui proses yang telah dilakukan,” katanya menurut Bernama di Putrajaya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Festival Idea Putrajaya (FOI Putrajaya) 2026, pada Rabu.
Pada 16 November lalu, Zambry memaklumkan Datuk Ismail Lasim yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Juasseh meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan.
Beliau berkata, Pengerusi BN merangkap Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menerima salinan surat peletakan jawatan yang diutuskan kepada Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir pada hari sama.
Ismail mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar pada 2 Ogos lalu.
Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16, BN memenangi 18 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), manakala Perikatan Nasional (PN) memperoleh tujuh kerusi, sekali gus membolehkan kedua-dua gabungan membentuk kerajaan negeri dengan majoriti dua pertiga.


