KUALA LUMPUR- Pas tidak akan tunduk kepada desakan pihak luar supaya meninggalkan kerjasama dengan Umno dan Barisan Nasional (BN), apatah lagi menyertai Kerajaan Madani pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang disifatkan sebagai kapal semakin karam.
Ketua Dewan Ulamak Pas Pusat Datuk Ahmad Yahaya berkata, parti itu mempunyai mekanisme tersendiri dalam menentukan hala tuju politik dan tidak akan membuat keputusan hanya berdasarkan desakan atau cadangan pihak luar.
Mengulas cadangan supaya Pas bekerjasama dengan Anwar dan menyertai Kerajaan Madani, Ahmad berkata, parti itu tidak semestinya menerima setiap tawaran yang dikemukakan pihak luar, terutama mereka yang sering mengkritik pendirian Pas.
“Pas amat tahu, tidak semua tangan yang dihulur mahu menariknya ke tempat yang selamat. Apatah lagi jika seruan untuk naik kapal yang semakin hampir karam,” katanya.
Beliau menegaskan Pas tidak memerlukan pihak luar menentukan hala tuju perjuangannya kerana parti itu mempunyai kepimpinan, prinsip dan struktur organisasi sendiri.
“Pas mempunyai nakhoda, kompas dan peta perjuangannya sendiri,” katanya.
Beliau berkata, keputusan besar berkaitan dasar dan strategi politik Pas perlu melalui pertimbangan serta perbincangan kepimpinan parti mengikut saluran ditetapkan.
“Pas bukan parti yang membuat keputusan di tepi jalan. Bukan juga parti yang mengubah haluan hanya kerana mendengar satu lontaran pandangan.
“Dalam Pas, keputusan besar tidak dibuat berdasarkan sentimen sesaat, fikir seminit, apatah lagi desakan pihak luar,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Menurutnya, Majlis Syura Ulamak berperanan meneliti dan memutuskan perkara berkaitan dasar, manakala Jawatankuasa Harian dan Jawatankuasa Kerja Pas Pusat akan membincangkan pendekatan politik serta strategi parti.
Katanya, Muktamar Khas juga boleh dipanggil sekiranya sesuatu keputusan memerlukan mandat lebih besar daripada perwakilan.



