Tiada setitis air dibekalkan namun Pulau Pinang wajib bayar RM8.4 bilion kepada Perak – Guan Eng persoal Kon Yeow, Zairil

KUALA LUMPUR – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih Lim Guan Eng mendakwa Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) diwajibkan membayar RM210 juta setahun kepada Perak selama 40 tahun, bersamaan RM8.4 bilion, meskipun tidak menerima setitis air terawat sekalipun.

Guan Eng yang juga Pensihat DAP berkata, kewajipan pembayaran itu menimbulkan persoalan serius mengenai kepentingan rakyat Pulau Pinang dalam perjanjian pembelian air di bawah Skim Bekalan Air Perak Utara.

Beliau mendakwa, perkara itu dibangkitkan lima pengarah bebas PBA Holdings Bhd (PBAH) dalam Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) pada 12 November lalu, apabila mereka secara rasmi membantah cadangan pembelian air terawat bernilai keseluruhan RM24.6 bilion.

“PBAPP diwajibkan membayar RM210 juta setiap tahun selama 40 tahun walaupun Perak gagal membekalkan jumlah minimum 300 juta liter air terawat, atau dalam senario paling buruk, tidak membekalkan setitis air terawat pun,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Guan Eng, lima daripada 12 pengarah PBAH menyuarakan kebimbangan terhadap kewajipan membayar caj kapasiti tetap walaupun bekalan air terawat yang diterima kurang daripada kuantiti dipersetujui atau tidak dibekalkan langsung.

Lima pengarah bebas terbabit ialah Datuk Brian Tan Guan Hooi, Lim Eng Huat, Nor Hatina Md Salleh, Lim Seang Lee dan Raja Azmi Raja Nazuddin.

Beliau berkata, bermula 31 Mac 2032, PBAPP dijangka menanggung komitmen pembayaran sekurang-kurangnya RM24.6 bilion sepanjang tempoh 40 tahun, merangkumi RM8.4 bilion caj kapasiti dan RM16.2 bilion caj bekalan.

Katanya, caj bekalan pula berpotensi meningkat apabila tarif asas air terawat yang bermula pada RM1.70 bagi setiap meter padu boleh disemak sehingga RM7.21 bagi setiap meter padu sepanjang tempoh perjanjian.

Malah, tarif kepada pengguna berkemungkinan meningkat lagi sebanyak RM1 bagi setiap meter padu bagi menampung kos lain yang ditanggung PBAPP, selain kemungkinan semakan kontrak selepas 22 tahun.

“Walaupun kita boleh mempersoalkan sama ada tarif asas air terawat yang dibeli oleh PBAPP daripada Perak terlalu tinggi atau melampau, sekurang-kurangnya kita membayar untuk sesuatu yang diterima, iaitu air terawat,” katanya.

Guan Eng turut mempersoalkan Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow, dan Exco Kerajaan Negeri, Zairil Khir Johari, yang didakwanya gagal memberikan penjelasan mengenai kewajipan pembayaran RM210 juta setahun itu.

“Bagaimanakah kepentingan rakyat dilindungi oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang apabila kerajaan negeri memeterai satu perjanjian yang mengenakan kewajipan kontrak untuk membayar RM210 juta setiap tahun walaupun tiada setitis air terawat pun dibekalkan?” soalnya.

Beliau menyifatkan perjanjian berkenaan sebagai tidak adil kepada rakyat Pulau Pinang serta mempersoalkan pematuhannya terhadap prinsip tadbir urus yang baik.

Menurutnya, keadaan itu boleh menghakis keyakinan awam sekiranya PBAPP terus diwajibkan membuat pembayaran besar tanpa menerima bekalan air seperti yang dipersetujui.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat