ANTALYA, TURKIYE – Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup menggesa negara maju menunaikan komitmen pembiayaan iklim serta memainkan peranan lebih besar dalam menggembleng dana bagi membantu negara membangun menangani cabaran perubahan iklim.
Beliau menegaskan, kejayaan Malaysia mencapai sasaran iklim bukan sahaja bergantung kepada komitmen domestik yang kukuh, tetapi turut memerlukan persekitaran antarabangsa yang kondusif, termasuk akses kepada pembiayaan dan teknologi.
Gesaan itu disuarakan ketika beliau menyampaikan Kenyataan Negara pada Sesi Peringkat Menteri Pertubuhan Kerjasama Ekonomi Lapan Negara Membangun (D-8) mengenai Tindakan Iklim sempena Persidangan Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Ke-31 (COP31), hari ini.
Dalam ucapannya, Arthur turut menyatakan sokongan Malaysia terhadap pembangunan Pelan Hala Tuju Iklim dan Alam Sekitar D-8 bagi tempoh 2027 hingga 2030 sebagai langkah memperkukuh kerjasama antarabangsa dalam menangani perubahan iklim.
Menurut beliau, pelan berkenaan menyediakan pendekatan berstruktur bagi memperluas kerjasama negara anggota dalam bidang adaptasi dan daya tahan iklim, peralihan tenaga bersih, pembiayaan iklim, pemindahan teknologi, pemuliharaan biodiversiti serta pemulihan ekosistem.
“Malaysia mengalu-alukan cadangan pembangunan pelan ini. Malaysia melihat potensi besar D-8 untuk memainkan peranan lebih bermakna dalam penyelesaian iklim dan alam sekitar yang saksama, praktikal dan mampan.
“Malaysia juga berharap dapat terlibat secara aktif melalui Kumpulan Kerja Teknikal dan Platform Kerjasama bagi mengenal pasti peluang perkongsian pengetahuan, kerjasama teknikal serta inisiatif bersama yang memberikan manfaat praktikal kepada negara anggota,” katanya.
Arthur turut mengalu-alukan penubuhan Platform Kerjasama Alam Sekitar dan Iklim D-8 yang akan menjadi saluran bagi memperkukuh dialog dasar, pertukaran maklumat dan kerjasama teknikal antara negara anggota.
Katanya, platform berkenaan berpotensi memperkukuh Kerjasama Selatan-Selatan, khususnya dalam perkongsian pengalaman serta pelaksanaan inisiatif bersama yang memberi manfaat kepada negara membangun.
“Kerjasama kita mestilah kekal inklusif, responsif terhadap keadaan negara masing-masing serta menyokong aspirasi pembangunan semua negara anggota D-8,” katanya.
Beliau turut menyambut baik penerimaan pakai Rangka Kerja Tindakan Peringkat Menteri Antalya mengenai Kerjasama Iklim dan Alam Sekitar D-8 sebagai asas memperkukuh tindakan bersama negara anggota.
Dalam perkembangan berkaitan, Arthur menegaskan komitmen Malaysia untuk mencapai pelepasan gas rumah kaca sifar bersih menjelang 2050 menerusi peralihan tenaga, pembangunan industri rendah karbon serta pengukuhan dasar iklim negara.
Malaysia juga menyasarkan pengurangan mutlak pelepasan gas rumah kaca sebanyak 15 hingga 30 juta tan setara karbon dioksida menjelang 2035 berbanding tahun pelepasan puncak.
D-8 merupakan organisasi kerjasama ekonomi yang dianggotai Malaysia, Bangladesh, Mesir, Indonesia, Iran, Nigeria, Pakistan, Türkiye dan Azerbaijan.
Kerjasama organisasi itu merangkumi pembangunan ekonomi, perdagangan, teknologi, pertanian, tenaga serta isu alam sekitar dan perubahan iklim. – Suara.TV



