JOHOR BAHRU – Laporan polis dan aduan rasmi kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah dibuat susulan tindakan sejumlah akaun media sosial mencurigakan yang didakwa menyebarkan maklumat tidak benar serta fitnah berkaitan projek pembangunan dan kemudahan awam di Johor.
Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, kebanyakan hantaran berkenaan menggunakan ayat dan naratif hampir sama, termasuk mendakwa terdapat projek bernilai ratusan juta ringgit serta menyebut nama syarikat yang disifatkan pelik dan meragukan.
Lebih mencurigakan, katanya, sebahagian besar akaun terbabit juga tidak mempunyai sebarang pengikut.
Beliau berkata, laporan polis dan aduan rasmi kepada MCMC dibuat supaya siasatan dapat dijalankan terhadap kesahihan akaun, kandungan yang disebarkan serta kemungkinan wujud aktiviti terancang.
“Pihak saya telah membuat laporan polis dan aduan rasmi kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) supaya perkara ini disiasat, termasuk kesahihan akaun, kandungan yang disebarkan serta kemungkinan wujudnya aktiviti yang dilakukan secara berkoordinasi.
“Saya berharap agar tindakan sewajarnya dapat diambil,” katanya menerusi kenyataan di media sosial, Facebook hari ini.
Onn Hafiz berkata, beliau sentiasa terbuka menerima teguran, kritikan dan aduan daripada Bangsa Johor serta memberi jaminan setiap aduan akan disemak dan diambil tindakan.
Bagaimanapun, beliau menegaskan penggunaan akaun palsu untuk mereka-reka cerita atau menyebarkan maklumat tidak benar bagi menghasut rakyat merupakan perkara serius yang tidak boleh dipandang ringan.
“Saya sentiasa terbuka menerima teguran, kritikan dan aduan daripada Bangsa Johor. Insya-Allah, setiap aduan akan disemak dan diambil tindakan.
“Tetapi kalau ada pihak yang sengaja menggunakan akaun palsu untuk mereka-reka cerita atau menyebarkan maklumat tidak benar bagi menghasut rakyat, perkara ini tidak boleh dipandang ringan,” katanya.
Mengulas suasana politik semasa, beliau berharap budaya politik matang dan bertanggungjawab terus diamalkan, khususnya ketika musim pilihan raya.
Katanya, perbezaan pandangan dan kritikan merupakan perkara biasa dalam amalan demokrasi, namun ia tidak seharusnya dijadikan alasan untuk menyebarkan fitnah atau mengelirukan masyarakat.
“Kita boleh berbeza pandangan, mengkritik dan tidak bersetuju, tetapi jangan sampai perbezaan politik dijadikan alasan untuk menyebarkan fitnah atau mengelirukan rakyat,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan seluruh rakyat Johor supaya lebih berhati-hati serta menyemak kesahihan sesuatu maklumat sebelum mempercayai atau menyebarkannya.
Beliau berharap siasatan pihak berkuasa dapat menentukan kesahihan dakwaan berkenaan serta mengambil tindakan sewajarnya sekiranya terdapat sebarang pelanggaran undang-undang.


