Jom mengopi 5.0 – ilmu, disiplin dan keberanian, buka ruang perkongsian dan peluang baru

Dalam dunia perniagaan, memiliki modal dan produk yang bagus belum tentu menjamin kejayaan. Ada kalanya, perkara paling penting untuk memastikan sesebuah perniagaan terus berkembang ialah ilmu, disiplin serta kesediaan untuk belajar daripada pengalaman orang lain.

Hakikat itu antara perkara yang diketengahkan dalam program dialog keusahawanan Jom Mengopi 5.0 yang berlangsung di Institut Latihan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), pada 11 November lalu.

Program anjuran MyFoodie dengan kerjasama Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) itu menghimpunkan kira-kira 600 peserta, sekali gus mencerminkan minat masyarakat terhadap peluang dan perkembangan dunia keusahawanan.

Menariknya, program yang sebelum ini berlangsung sebanyak empat edisi di Pulau Pinang itu membawa pendekatan berbeza dengan mengetengahkan pengalaman sebenar pengusaha yang pernah bermula dari bawah sebelum berjaya membina perniagaan dengan rangkaian cawangan sendiri.

Ketika merasmikan program berkenaan, Mufti Wilayah Persekutuan, Tuan Haji Ahmad Fauwaz Ali @ Fadzil mengingatkan bahawa kejayaan dalam perniagaan bukan sekadar soal mengejar keuntungan, sebaliknya turut melibatkan tanggungjawab untuk membantu masyarakat dan membuka lebih banyak peluang kepada orang lain.

Menurut beliau, pemilik jenama yang sudah mempunyai kedudukan kukuh boleh memainkan peranan dengan menawarkan pakej francais pada harga lebih berpatutan supaya golongan peniaga kecil berpeluang memiliki dan mengusahakan perniagaan sendiri.

Pendekatan itu bukan sahaja membantu jenama berkembang ke pasaran lebih luas, malah memberi ruang kepada lebih ramai individu menjana pendapatan melalui peluang perniagaan yang tersedia.

Beliau turut menggalakkan usahawan berpengalaman berkongsi ilmu menerusi program tanggungjawab sosial korporat (CSR), selain mengajak mereka yang mempunyai lebihan modal melabur dalam syarikat tempatan bagi membantu membiayai projek usahawan kecil.

Dalam masa sama, Ahmad Fauwaz mengingatkan bahawa perniagaan juga boleh menjadi satu bentuk ibadah apabila diusahakan dengan penuh amanah dan tanggungjawab.

Bagi pengusaha makanan, misalnya, aspek kebersihan, kesihatan dan pematuhan halal tidak boleh dipandang ringan kerana kepercayaan pelanggan merupakan antara aset paling berharga dalam sesebuah perniagaan.

Beliau turut menegaskan kepentingan mematuhi undang-undang, menjaga akhlak serta menjauhi sebarang bentuk penipuan dalam urusan perniagaan.

Sementara itu, Pengerusi MyFoodie merangkap pemilik jenama Jeruk Madu Pak Ali, Datuk Hj Alias Hj Ali melihat ilmu perniagaan sebagai sesuatu yang tidak semestinya boleh diperoleh melalui buku atau bilik kuliah sahaja.

Dengan pengalaman berniaga sejak berusia enam tahun, beliau percaya banyak perkara hanya dapat difahami apabila seseorang melalui sendiri cabaran membina perniagaan.

Pengalaman itulah yang mendorong beliau bersama MyFoodie menganjurkan Jom Mengopi sebagai ruang pertemuan antara usahawan untuk berkongsi cerita, bertukar pandangan dan mencari penyelesaian terhadap masalah yang dihadapi.

Baginya, setiap usahawan mempunyai pengalaman tersendiri dan tidak mustahil masalah yang sedang dihadapi seseorang sebenarnya pernah dilalui oleh individu lain.

Ada kalanya, jawapan kepada persoalan yang dicari bukan berada dalam seminar mahal atau buku perniagaan, tetapi mungkin datang daripada perbualan santai bersama rakan usahawan di sebelah.

Namun, selain ilmu dan pengalaman, Alias turut mengingatkan bahawa disiplin merupakan antara perkara yang sering dipandang mudah oleh sesetengah pemilik perniagaan.

Beliau menyifatkan sikap suka bertangguh, tidak menjaga masa dan terlalu bergantung kepada kehadiran pemilik sebagai antara tabiat yang boleh menghalang perkembangan sesebuah perniagaan.

Menurutnya, perniagaan tidak sepatutnya berhenti beroperasi hanya kerana pemiliknya mengambil cuti. Sebaliknya, usahawan perlu membina sistem pengurusan yang baik dan menyediakan pekerja atau pengurus yang mampu mengambil alih tanggungjawab operasi.

Dalam erti kata lain, kejayaan sebenar bukan apabila seseorang pemilik perlu berada di premis setiap hari untuk memastikan perniagaannya berjalan, tetapi apabila operasi mampu diteruskan dengan lancar walaupun dirinya tiada.

Alias juga mengingatkan usahawan supaya tidak terlalu awal mengejar gaya hidup mewah sehingga sanggup menanggung hutang semata-mata mahu memperlihatkan kejayaan kepada orang sekeliling.

Baginya, memiliki kereta besar atau rumah mewah bukanlah ukuran sebenar kejayaan seseorang usahawan, lebih-lebih lagi jika asas perniagaan masih belum cukup kukuh.

Apa yang lebih penting ialah membina perniagaan secara berperingkat, memastikan aliran operasi stabil dan menggunakan keuntungan untuk mengembangkan usaha.

Satu lagi perkara yang tidak kurang penting ialah menyediakan generasi pelapis supaya perniagaan yang dibina tidak terhenti apabila pengasasnya tidak lagi mampu menguruskannya.

Usahawan perlu mempunyai perancangan jangka panjang dan tidak sekadar menjalankan perniagaan mengikut semangat atau keadaan semasa. Matlamatnya bukan hanya untuk membesarkan empayar perniagaan sendiri, tetapi juga membuka peluang pekerjaan, membantu masyarakat dan akhirnya menjadi penyumbang lebih besar kepada ekonomi melalui pembayaran zakat.

Melihat kepada perkembangan Jom Mengopi, program seperti ini membuktikan bahawa dunia keusahawanan memerlukan lebih banyak ruang untuk perkongsian dan kerjasama.

Apabila usahawan saling membantu, pengalaman dapat dikongsi, masalah boleh dicari jalan penyelesaian dan peluang baharu dapat diwujudkan.

Lebih penting, kekuatan sesebuah komuniti perniagaan bukan hanya terletak pada jumlah ahlinya, tetapi sejauh mana mereka mampu bergerak bersama untuk membina kejayaan.

Seperti yang ingin diketengahkan menerusi Jom Mengopi, perjalanan seorang usahawan tidak semestinya perlu ditempuh bersendirian. Kadangkala, secawan kopi dan perbualan bersama insan yang pernah melalui jatuh bangun dunia perniagaan mampu membuka jalan kepada sebuah kejayaan yang lebih besar.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat