Umno jadi punca kestabilan Kerajaan Perpaduan tergugat bukannya DAP- Ramkarpal bidas Azalina

KUALA LUMPUR — Umno didakwa menjadi punca ketegangan dalam Kerajaan Perpaduan apabila tindakannya sejak kebelakangan ini dilihat menghakis kestabilan kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh berkata, Umno sepatutnya menilai komitmennya terhadap kerjasama kerajaan sebelum mempersoalkan pendirian DAP susulan kenyataan Pengerusi Kebangsaan parti itu, Gobind Singh Deo.

Beliau berkata, Perjanjian Persefahaman Kerjasama Kerajaan Perpaduan yang dimeterai pada 16 Disember 2022 bertujuan menjamin kestabilan kerajaan, pembaharuan, perpaduan sosial dan keterangkuman.

Namun, katanya, terdapat tiga tindakan Umno yang menimbulkan persoalan terhadap komitmen parti itu, iaitu hubungan dan penjajaran politik Umno -Barisan Nasional (BN) dengan Pas ketika masih menjadi rakan kerajaan, kritikan terbuka berterusan pemimpin Umno terhadap Perdana Menteri serta gesaan supaya Parlimen dibubarkan.

Menurutnya, kerjasama politik Umno-BN dengan Pas ketika berada dalam kerajaan boleh menggugat kestabilan gabungan, dengan perkembangan itu turut dilihat di Johor, Negeri Sembilan dan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Timbalan Setiausaha Agung DAP itu turut mendakwa kritikan terbuka terhadap Anwar boleh melemahkan kewibawaan Perdana Menteri dan menghakis keyakinan rakyat terhadap kerajaan, manakala gesaan pembubaran Parlimen bercanggah dengan komitmen mengekalkan kestabilan politik.

Mengulas kenyataan Ketua Penerangan Umno Datuk Seri Azalina Othman Said bahawa perbezaan pandangan antara rakan gabungan perlu diselesaikan melalui dialog dan rundingan, bukannya tekanan terbuka atau desakan peletakan jawatan, Ramkarpal menyifatkannya sebagai menghairankan.

Sebaliknya, beliau menegaskan tindakan Umno sendiri yang telah menjejaskan persefahaman dan menguji batas kerjasama politik dalam Kerajaan Perpaduan.

Ramkarpal berkata, DAP kekal sebagai rakan kerajaan yang boleh dipercayai dan berdisiplin, selain komited menghormati perjanjian berkenaan serta menyokong agenda reformasi dan ekonomi Perdana Menteri.

Bagaimanapun, katanya, DAP tidak akan berdiam diri sekiranya integriti gabungan itu dikompromi.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat