Kezaliman bukan soal agama, Tun Faisal bidas Hadi

MELAKA- Ketua Penerangan Bersatu Datuk Tun Faisal Ismail Aziz mencabar Pas membuktikan komitmen terhadap prinsip keadilan Islam dan bukannya menggunakan agama sebagai perisai untuk melindungi pemimpin daripada kritikan.

Tun Faisal berkata, kezaliman tidak boleh diukur berdasarkan agama seseorang pemimpin, sebaliknya perlu dinilai melalui tindakan, amanah dan kepatuhannya terhadap prinsip keadilan.

“Kezaliman tidak boleh dinilai mengikut agama pemimpin. Pemimpin yang rasuah, khianat, tidak amanah dan melanggar keputusan musyawarah tetap zalim, walaupun beliau menggunakan nama Islam,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Kenyataan Tun Faisal itu dipercayai ditujukan kepada Presiden Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang, susulan pandangan pemimpin berkenaan yang didakwa membandingkan kezaliman pemerintah Muslim dengan pemerintah bukan Muslim.

Tun Faisal mendakwa Pas sepatutnya menjelaskan persoalan berkaitan integriti kepimpinan Perikatan Nasional (PN), termasuk dakwaan pelanggaran Perlembagaan gabungan, tindakan tidak amanah dan rundingan di belakang tabir.

Menurutnya, perdebatan mengenai keadilan dan Islam tidak seharusnya dijadikan alasan untuk mengalihkan perhatian daripada persoalan kepatuhan terhadap keputusan bersama serta amanah kepimpinan.

Beliau turut memetik pandangan tokoh Islam, Ibn Taymiyyah, bahawa Allah menegakkan negara yang adil walaupun diperintah bukan Muslim, tetapi tidak menegakkan negara yang zalim walaupun diperintah Muslim.

Katanya, prinsip itu memperlihatkan bahawa keadilan merupakan asas pemerintahan dalam Islam, bukannya identiti agama seseorang pemimpin.

“Jika Pas benar-benar mahu mempertahankan Islam, buktikan melalui keadilan, amanah dan akhlak. Jangan gunakan Islam sebagai perisai untuk kezaliman,” katanya.

Sebelum ini, Tun Faisal turut mendesak Pas membuktikan kepatuhan terhadap Perlembagaan PN sebelum mengambil sebarang tindakan tatatertib terhadap Bersatu.

Beliau juga mendakwa wujud pelanggaran keputusan Majlis Tertinggi PN serta rundingan tanpa mandat gabungan.

Bagaimanapun, Pas menafikan kenyataan Hadi bertujuan mencetuskan sentimen perkauman dan mendakwa ucapan itu telah dikeluarkan daripada konteks.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat