KUALA LUMPUR – Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) akan membincangkan cadangan pembukaan tanah baharu, persediaan menghadapi ketidaktentuan geopolitik global serta bantuan kepada pesawah dalam Belanjawan 2027.
Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu, mempersoalkan mengapa Kadar Sara Diri (SSR) beras negara masih belum meningkat seperti diharapkan walaupun kerajaan membelanjakan RM2.62 bilion setahun untuk subsidi dan insentif sektor padi.
“Kita perlu meneliti semula keberkesanan bantuan supaya setiap ringgit yang dibelanjakan benar-benar memberi manfaat kepada pesawah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Industri Padi dan Beras Negara Bilangan 2 Tahun 2026 di Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), di sini.
Mohamad Sabu berkata, antara rungutan utama pesawah ialah kenaikan kos baja, cuaca tidak menentu dan hasil tuaian yang tidak konsisten. Menurutnya, mereka bekerja keras di bendang, tetapi pendapatan masih belum cukup untuk mengubah kehidupan keluarga.
“Sebagai anak pesawah, Bang Mat cukup memahami kesusahan ini,” katanya.
Beliau turut menekankan cabaran penuaan dalam industri padi, apabila hampir 50 peratus pesawah kini berusia 60 tahun ke atas. Justeru, katanya, kerajaan perlu mencari jalan menarik minat generasi muda menjadi pesawah moden melalui teknologi, mekanisasi dan peluang pendapatan yang lebih baik.
“Bang Mat mahu mendengar sendiri suara pesawah dan pemain industri, bukan sekadar menerima laporan di atas meja. Segala pandangan dan cadangan akan dibawa terus ke peringkat tertinggi kerajaan untuk diperhalusi,” katanya.
Menurut beliau, kejayaan industri padi bukan sahaja diukur melalui jumlah beras yang dihasilkan, malah turut bergantung kepada peningkatan kesejahteraan dan pendapatan pesawah.
“Kejayaan industri padi bukan sekadar diukur melalui jumlah beras yang dihasilkan, tetapi sejauh mana kehidupan pesawah dapat kita perbaiki,” katanya.



