‘Saya bukan penderhaka kepada Agong’ – Anthony Loke

HANG TUAH JAYA – Setiausaha Agung DAP Anthony Loke menegaskan beliau tidak menderhaka kepada Yang di-Pertuan Agong, sebaliknya peletakan jawatannya sebagai Menteri Pengangkutan adalah pendirian politik membantah isu tahanan rumah Datuk Seri Najib Razak.

Ahli Parlimen Seremban itu berkata, keputusan meletakkan jawatan sebagai Menteri Pengangkutan dibuat bagi menyatakan prinsip dan pendirian DAP terhadap isu berkenaan, bukannya kerana tidak menghormati institusi diraja.

“Saya nak tegaskan, ini bukan soal tidak hormat kepada Yang di-Pertuan Agong. Kita hormat kepada Yang di-Pertuan Agong. Tetapi ini adalah pendirian terhadap Najib, bukannya berkenaan dengan Agong,” katanya dalam ucapan Grand Finale Jelajah Harapan Melaka, malam tadi.

Loke menegaskan DAP sentiasa menjunjung Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara, termasuk prinsip kesetiaan kepada Raja dan Negara.

“DAP menjunjung Perlembagaan Persekutuan. Kita menjunjung Rukun Negara. Kita menjunjung kesetiaan kepada Raja dan Negara. Itu prinsip kita,” katanya.

Menurutnya, pendirian DAP terhadap Najib tidak seharusnya diputarbelitkan sebagai tindakan menentang Raja-Raja Melayu kerana isu yang dibangkitkan adalah berkaitan bekas Perdana Menteri itu, bukannya institusi diraja.

Dalam pada itu, Loke menjelaskan beliau telah menyerahkan surat peletakan jawatan sebagai anggota Kabinet kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai tanda pendirian terhadap isu tahanan rumah Najib.

Bagaimanapun, beliau menegaskan keputusan itu tidak bermakna DAP menarik balik sokongan terhadap Anwar.

“Saya letak jawatan sebagai Menteri. Tetapi saya bukan menarik sokongan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya.

Malah, beliau menegaskan DAP bersama 40 Ahli Parlimennya kekal menyokong Anwar sebagai Perdana Menteri.

“Saya dan DAP kekal menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri. Ini yang perlu saya tegaskan. 40 Ahli Parlimen tetap kukuh, tetap tegas memberi sokongan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya.

Dalam pada itu, Loke turut menegaskan kerjasama DAP dengan Barisan Nasional (BN) dalam pembentukan kerajaan tidak bermakna parti itu menggadaikan prinsip perjuangannya, khususnya dalam membanteras rasuah.

“Apabila kita bekerjasama dengan BN, bukan bermaksud kita jual prinsip kita. Bukan kita lupakan apa yang terjadi dalam negara kita. Bukan kita lupakan dosa Datuk Seri Najib,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat