Gibran dijangka letak jawatan Naib Presiden Indonesia, 120 ahli Parlimen desak pemecatan

JAKARTA – Naib Presiden Indonesia, Gibran Rakabuming Raka, dijangka mengemukakan surat peletakan jawatan secara rasmi kepada Majelis Permusyawaratan Rakyat (MPR) hari ini, ketika tekanan politik terhadapnya semakin meningkat susulan keputusan Mahkamah Agung yang membatalkan surat penyetaraan kelulusan sekolah menengahnya.

Perkembangan itu menyusuli laporan Reuters pada Rabu bahawa Gibran telah menyerahkan pengundurannya kepada Presiden Prabowo Subianto, menurut tiga sumber politik termasuk pembantu politiknya, Budi Arie Setiadi.

Bagaimanapun, setakat tengah hari Khamis, belum ada pengumuman rasmi MPR bahawa peletakan jawatan tersebut telah diterima atau berkuat kuasa.

Ketua Komisi III Dewan Perwakilan Rakyat (DPR), Habiburokhman, sebelum ini dilaporkan berkata Gibran dijadual menyerahkan surat pengundurannya kepada MPR pada pukul 11 pagi waktu Jakarta.

Beberapa pimpinan MPR turut dilaporkan telah tiba di kompleks Parlimen bagi menghadiri urusan berkaitan perkembangan tersebut.

Pada masa sama, Associated Press melaporkan seramai 120 anggota DPR daripada lapan parti politik kini menyokong usaha yang boleh membuka laluan kepada proses pemecatan Gibran.

Jumlah itu meningkat berbanding kira-kira 50 anggota DPR yang sebelum ini dilaporkan menyokong penggunaan Hak Menyatakan Pendapat (HMP) bagi meneliti kelayakan Gibran sebagai Naib Presiden.

Tekanan terhadap anak sulung bekas Presiden Joko Widodo (Jokowi) itu semakin meningkat selepas Mahkamah Agung membatalkan surat penyetaraan pendidikan yang digunakan untuk mengiktiraf kelulusan sekolah menengahnya di luar negara sebagai setara dengan Sekolah Menengah Atas (SMA) Indonesia.

Keputusan tersebut menimbulkan persoalan sama ada Gibran memenuhi syarat pendidikan minimum ketika bertanding sebagai pasangan Prabowo dalam Pilihan Raya Presiden 2024.

Bagaimanapun, pembatalan surat penyetaraan pendidikan itu tidak secara automatik membatalkan kemenangan pilihan raya atau menggugurkan jawatannya.

Mengikut Perkara 7A dan 7B Perlembagaan Indonesia, proses pemecatan Naib Presiden memerlukan tindakan DPR, pemeriksaan oleh Mahkamah Konstitusi dan keputusan akhir MPR.

Sekiranya Gibran meletakkan jawatan dan kekosongan itu disahkan, Prabowo perlu mengemukakan dua calon pengganti untuk dipilih oleh MPR dalam tempoh maksimum 60 hari.

Pengunduran Gibran, jika dimuktamadkan, bakal menjadi perkembangan penting dalam politik Indonesia kerana beliau merupakan anak sulung Jokowi yang dipilih sebagai pasangan Prabowo dalam pilihan raya 2024.

Perhatian kini tertumpu kepada keputusan MPR serta sama ada proses pemecatan yang sedang digerakkan anggota DPR akan diteruskan selepas pengunduran tersebut. – awSuara.TV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat