Kempen PRN Melaka: Zahid akui ada calon tidak disukai pengundi, gesa terus undi BN

MELAKA – Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengakui wujud pengundi yang tidak menyukai calon diketengahkan gabungan itu, namun menegaskan mereka perlu terus memberikan undi kepada BN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, Sabtu ini.

Beliau berkata, keputusan kepimpinan memilih calon perlu dihormati dan menjadi tanggungjawab pengundi daripada semua parti komponen BN untuk memastikan kemenangan calon berkenaan.

Menurutnya, beliau sendiri meneliti latar belakang calon sebelum menandatangani watikah pencalonan berdasarkan kepercayaan yang diberikan kepada kepimpinan BN negeri.

“Saya telah menentukan calon berdasarkan kepercayaan yang diberikan oleh Pengerusi BN Negeri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

“Disebabkan calon dipilih mewakili UMNO serta bertanding atas tiket BN, maka menjadi satu kewajipan semua pengundi BN daripada pelbagai parti komponen untuk memberikan undi dan kemenangan kepada calon berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Perjumpaan Khas Jentera Tangga Batu di Bilik Gerakan Pilihan Raya Parlimen Tangga Batu pada Rabu.

Dalam pertemuan itu, Ahmad Zahid turut mempertahankan calon BN bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pantai Kundor, Datuk Tuminah Kadi yang berdepan kritikan.

“Apa yang Datuk Tuminah tidak dikata oleh orang yang tak suka dengan dia? Macam-macam, sampai hati bonda saya dikata oleh orang,” katanya.

Bagaimanapun, beliau menasihati Tuminah supaya meneliti kritikan berkenaan dan memperbaiki kelemahan sekiranya diberikan mandat sekali lagi.

“Jika selepas ini insya-Allah terpilih sebagai ADUN semula, komen-komen negatif itu cuba lihat dan perbaikilah. Turun ke bawah, santuni rumah semua pengundi dan rakyat di Pantai Kundor.

“Jangan kira sama ada orang itu Cina, India ataupun apa bangsa sekalipun, mereka adalah rakyat yang harus disantuni,” katanya.

Ahmad Zahid turut mengingatkan Tuminah supaya mendekati penduduk yang tidak pernah menyokongnya bagi memberikan khidmat lebih baik pada penggal kedua.

Sementara itu, beliau meminta calon BN DUN Sungai Udang, Datuk Rais Yasin memberikan perhatian kepada kebajikan kira-kira 9,700 pengundi dalam kalangan anggota tentera di kawasan berkenaan.

“Jangan ambil mudah, biarpun mereka tentera atau keluarga tentera, mereka adalah pengundi kita.

“Lazimnya terdapat Ahli Parlimen atau ADUN yang tidak mengambil kepedulian terhadap mereka. Mereka adalah pengundi kita. Rais, saya akan pantau,” katanya.

Beliau turut menyatakan keyakinan terhadap calon BN DUN Klebang, Datuk Lim Ban Hong yang disifatkan mempunyai penerimaan baik dalam kalangan masyarakat berbilang kaum.

Dalam program berasingan di Ayer Keroh pada Rabu, Ahmad Zahid menyuarakan keyakinan bahawa tawaran BN bersama Perikatan Nasional (PN) mampu menarik sokongan rakyat untuk menguasai kesemua 28 kerusi DUN Melaka.

Menurutnya, manifesto yang mengandungi 113 perkara itu mengambil kira keperluan masyarakat daripada pelbagai kelompok umur, kaum, agama, budaya dan bahasa.

Beliau turut memuji suasana kempen yang tenang serta berharap keadaan itu dapat dikekalkan sehingga hari pengundian.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan Sabtu, 14 November sebagai hari pengundian PRN Melaka ke-16, dengan 687,697 pengundi layak menunaikan tanggungjawab masing-masing.

BN bertanding di 23 kerusi, manakala PN bertanding di baki lima kerusi. – SuaraTV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat