Politik Identiti: Jangan Sampai Kita Lupa Hikmah Sejarah

Menjelang pilihan raya, kita sering mendengar pelbagai tuduhan politik. Ada yang dilabel perkauman, ada yang dituduh mengancam perpaduan, seolah-olah memperjuangkan kepentingan bangsa sendiri dengan sendirinya bermaksud memusuhi bangsa lain.

Saya fikir kita perlu lebih berhati-hati. Perkataan rasis bukan tuduhan kecil. Ia membawa makna yang berat kerana menyentuh maruah, prasangka dan penafian hak sesama manusia. Janganlah kerana berbeza pendirian politik, kita terlalu mudah melemparkan tuduhan sehingga terlupa sejarah negara sendiri.

Lihat sahaja Melaka. Lebih 500 tahun dahulu, Melaka sudah menjadi tempat pertemuan pedagang Melayu, Cina, India, Arab dan pelbagai bangsa dari seluruh dunia. Daripada pertemuan itulah berkembang sebuah masyarakat yang kaya dengan adat, bahasa, kepercayaan dan kebudayaan. Hingga hari ini kita mengenali masyarakat Baba Nyonya, Cheti dan Portugis sebagai sebahagian daripada wajah Melaka.

Menariknya, Dondang Sayang yang berakar dalam tradisi Melayu turut menjadi warisan bersama masyarakat Baba Nyonya, Chitty dan Portugis. Bukankah ini memperlihatkan bahawa sesuatu bangsa boleh mempertahankan warisannya, sedangkan bangsa lain turut berkongsi keindahannya?

Sejarah kemerdekaan juga memberikan pengajaran serupa. UMNO lahir pada 1946 untuk mempertahankan kepentingan Melayu dan institusi Raja-Raja Melayu. Namun, apabila tiba masanya membina negara merdeka, Tunku Abdul Rahman bersama pemimpin MCA dan MIC memilih jalan persefahaman. Mereka memahami sesuatu yang barangkali semakin mudah kita lupakan hari ini: mempertahankan kepentingan bangsa sendiri tidak semestinya menafikan hak bangsa lain.

Kemudian datang tahun 1963. Pembentukan Malaysia menghimpunkan Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak, wilayah yang mempunyai sejarah, agama, adat serta pengalaman politik berbeza. Masyarakat Kadazan-Dusun, Bajau, Murut, Iban, Bidayuh, Melanau dan pelbagai komuniti lain membawa identiti masing-masing ke dalam sebuah Persekutuan. Malaysia tidak lahir dengan menghapuskan semua perbezaan itu. Sebaliknya, negara dibina melalui rundingan, persefahaman dan pengiktirafan terhadap kepelbagaian wilayah.

Inilah kebijaksanaan yang perlu kita warisi.

Dalam konteks ilmu kenegaraan Malaysia, keterikatan kepada bahasa, agama, keturunan dan tanah kelahiran sering dibincangkan sebagai sentimen sosial. Ia sebahagian daripada pengalaman manusia. Kita menyayangi keluarga, kampung, bangsa dan agama sendiri. Namun kasih kepada kelompok sendiri tidak harus berubah menjadi kebencian terhadap orang lain.

Perlembagaan Persekutuan memberikan pedoman yang jelas. Kedudukan Islam, bahasa Melayu, institusi Raja-Raja Melayu dan kedudukan istimewa orang Melayu serta anak negeri Sabah dan Sarawak dipelihara bersama perlindungan hak dan kepentingan sah masyarakat lain.

Kerangka ini bukan bermaksud perjalanan negara sentiasa sempurna. Kita pernah melalui tragedi 13 Mei 1969, ketegangan masyarakat dan pelbagai pertikaian politik. Namun pengalaman pahit itulah yang sepatutnya mendewasakan kita, bukan dijadikan alasan untuk menghidupkan semula prasangka.

Saya percaya, sesiapa pun yang memimpin negara perlu memahami bahawa kekuatan Melayu tidak seharusnya menjadi ketakutan masyarakat Cina, India atau masyarakat lain. Begitu juga kemajuan kaum lain tidak harus dianggap ancaman kepada Melayu.

Kepada semua yang terlibat dalam politik, khususnya jentera pilihan raya, jagalah bahasa dan tingkah laku. Jangan kerana mahu memenangkan hujah, kita kehilangan adab. Jangan kerana mahu memenangkan parti, kita merosakkan persaudaraan yang dibina berpuluh-puluh tahun.

Rakyat mempunyai masalah yang jauh lebih dekat dengan kehidupan mereka. Harga barang, pekerjaan anak-anak, pendidikan, perumahan dan kesejahteraan keluarga. Mereka memerlukan penyelesaian, bukannya pertengkaran yang tidak berkesudahan. Orang tua-tua berpesan, kerana pulut santan binasa, kerana mulut badan binasa. Dalam politik, kerana tutur kata yang tidak dijaga, hubungan sesama rakyat juga boleh rosak.

Akhirnya, ingatlah bahawa kita mungkin berbeza parti, tetapi anak-anak kita akan terus membesar di bumi yang sama. Mereka akan bersekolah, bekerja dan membina kehidupan bersama.

Janganlah kita wariskan kepada mereka sebuah negara yang kaya dengan sejarah perpaduan, tetapi miskin dengan kebijaksanaan untuk hidup bersama. Melaka telah mengajar kita erti pertemuan tamadun. Kemerdekaan mengajar kita erti muafakat. Pembentukan Malaysia mengajar kita erti perkongsian wilayah. Kini terpulang kepada generasi kita untuk membuktikan bahawa hikmah sejarah itu masih hidup.

Bangsa yang besar bukan bangsa yang tidak pernah berbeza, tetapi bangsa yang tahu menghormati perbezaan tanpa kehilangan jati dirinya.

Datuk Zakaria Dullah
Timbalan Ketua
UMNO Bahagian Simpang Renggam
Penaung Briged Negaraku

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat