Kerjasama BN-PAS diharap tingkat sokongan pengundi Durian Tunggal – Mustafa Musa

MELAKA — Kerjasama antara Barisan Nasional (BN) dan PAS menjadi antara sandaran calon BN Dewan Undangan Negeri (DUN) Durian Tunggal, Datuk Dr Mustafa Musa dalam usaha meningkatkan sokongan pengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Beliau berkata, perkembangan politik semasa serta keinginan rakyat untuk melihat perpaduan ummah diyakini mampu memberikan kesan positif terhadap sokongan kepada BN di kawasan berkenaan.

Menurutnya, BN sebelum ini memperoleh majoriti lebih 500 undi di DUN Durian Tunggal dan beliau berharap kerjasama politik yang terjalin dapat membantu meningkatkan jumlah undi pada PRN kali ini.

“Saya percaya dengan kerjasama bersama PAS, keadaan politik semasa serta keinginan rakyat untuk melihat perpaduan ummah ini, kita dapat meningkatkan sokongan rakyat dan sekali gus meningkatkan jumlah undi yang diperoleh Barisan Nasional, insya-Allah,” katanya.

Mustafa berkata demikian ketika ditemui pemberita pada program walkabout di DUN Durian Tunggal pagi ini.

Mustafa berkata, meskipun PRN kali ini merupakan pengalaman pertamanya bertanding di kawasan berkenaan, beliau yakin kerjasama seluruh kepimpinan tempatan dan parti komponen BN mampu memperkukuh gerak kerja kempen.

“Dengan kerjasama daripada seluruh kepimpinan Durian Tunggal, kepimpinan komponen Barisan Nasional serta kehadiran ramai tokoh besar negara di kawasan ini, saya penuh yakin dan percaya bahawa ini menjadi momentum terbaik untuk kita meraih sokongan dan mempertahankan N09 sebagai kubu Barisan Nasional, insya-Allah,” katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau turut menyifatkan kehadiran bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang juga Ketua Bahagian UMNO di kawasan itu sebagai suntikan semangat kepada jentera kempen BN.

Katanya, Ismail Sabri turut mengingatkan beliau supaya mempergiat usaha mendekati pengundi melalui pelbagai pendekatan sepanjang tempoh berkempen.

“Seperti biasa, Datuk Seri Ismail Sabri berpesan supaya saya menyantuni seramai mungkin pengundi, berjabat tangan dengan seramai mungkin penduduk dan memastikan kita bersama-sama melaksanakan gerak kerja, sama ada melalui ceramah ataupun walkabout,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat