MELAKA — Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menegaskan Perjanjian Kerjasama Strategik (CSA) bukan perkara baharu, sebaliknya kerjasama antara parti politik perlu diteruskan bagi mengelakkan perpecahan yang akhirnya merugikan semua pihak.
Beliau berkata, CSA yang diperkenalkannya ketika menjadi Perdana Menteri bertujuan membuka ruang kerjasama antara parti politik meskipun berbeza haluan dan bersaing dalam pilihan raya.
“Berkenaan CSA, saya tidak mahu jawab. CSA bukan perkara baharu. Saya yang mulakan CSA.
“Jadi, alhamdulillah. Kalau boleh, semua pihak perlu bekerjasama. Kalau waktu pilihan raya, bolehlah kita bertentangan. Tetapi di luar pilihan raya, tidak ada sebab untuk kita teruskan permusuhan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui wartawan semasa menyertai program walkabout bagi membantu kempen calon Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Durian Tunggal, Datuk Dr Mustafa Musa, sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Mengulas lanjut, Ismail Sabri mengingatkan bahawa perpecahan dalam kalangan parti politik boleh menyebabkan kekalahan meskipun mempunyai sokongan majoriti.
“Jangan sampai perkara itu memecahbelahkan kita. Sekarang, apa yang kita lakukan antara UMNO dengan PAS sangat jelas dan sebenarnya lebih daripada sekadar penyatuan dalam pilihan raya.
“Perkara ini penting. Walaupun kita majoriti, tetapi kalau kita berpecah seperti dahulu, kita akan kalah. Jadi, majoriti itu tidak membawa makna,” katanya.
Dalam masa sama, beliau berpandangan kandungan perjanjian CSA boleh didedahkan kepada umum bagi membolehkan rakyat mengetahui dan menilai sendiri perkara yang dipersetujui.
“Kandungan perjanjian itu saya rasa perlu didedahkan kepada umum. Kalau mereka mahu mendedahkannya hari ini, biarlah. Rakyat boleh melihat apa yang terkandung dalam perjanjian tersebut,” katanya.
Sementara itu, menyentuh perkembangan kempen PRN Melaka, Ismail Sabri menyatakan keyakinan terhadap kerjasama antara BN dan PAS yang disifatkannya semakin jelas di peringkat akar umbi, khususnya di Durian Tunggal.
Meninjau perkembangan kempen di kawasan berkenaan, beliau berkata kehadiran anggota PAS bersama jentera BN memperlihatkan kerjasama antara kedua-dua parti.
“Walaupun ini pertama kali saya datang hari ini, saya nampak kerjasama antara BN dan PAS sangat jelas. Kita dapat sokongan daripada rakan-rakan kita daripada PAS.
“Hari ini pun, dalam program walkabout ini, ada beberapa orang daripada bahagian PAS di Durian Tunggal,” katanya.
Justeru, beliau berharap kerjasama berkenaan dapat dikekalkan sehingga hari pengundian bagi memastikan sokongan kedua-dua parti diterjemahkan kepada undi.
“Jadi, saya harap keadaan ini berterusan sehingga hari mengundi. Kerjasama kita perlu diteruskan sehingga hari mengundi dan pastikan semua undi menjadi milik kita. PAS pun undi kita, BN dan UMNO pun kita ada undi,” katanya.
Ismail Sabri turut menyuarakan keyakinan bahawa kerjasama berkenaan mampu membantu BN mencapai keputusan yang diharapkan dalam PRN Melaka.
“Jadi, saya yakin kita boleh menang seperti juga di Johor dan Negeri Sembilan dahulu. Saya rasa berdasarkan apa yang berlaku di Negeri Sembilan dan Johor, kita harap dapat menang besar,” katanya.



