PAYA RUMPUT – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berharap rakyat Melaka memberi peluang kepada Pakatan Harapan (PH) untuk memperkukuh kedudukan parti itu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka bagi memastikan suara rakyat terus diwakili dengan kuat di peringkat negeri.
Beliau berkata, meskipun PH tidak berjaya menguasai keseluruhan negeri, kehadiran wakil yang kuat dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) tetap penting bagi memastikan kepentingan rakyat Melaka dapat diperjuangkan.
“Jadi saya harap, kawan-kawan bagi peluang. Dan saya mahu, kalau tidak seluruh negeri, mesti ada suara kita yang kuat.
“Dapat negeri, alhamdulillah. Tapi mesti ada suara yang kuat mewakili Melaka ini,” katanya ketika berucap pada program Jelajah Aspirasi MADANI di DUN Paya Rumput, semalam.
Anwar berkata, kerjasama antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri yang mempunyai hubungan baik mampu membuka lebih banyak ruang untuk membantu meningkatkan kesejahteraan rakyat.
Menurut beliau, keselarasan hubungan antara kedua-dua peringkat kerajaan penting bagi memastikan pembangunan dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan, sekali gus mengangkat nasib rakyat.
“Kita ada Federal Government macam ini, kita ada State macam ini. Jadi kita boleh bantu angkat nasib rakyat,” katanya.
Dalam ucapannya, Anwar turut menegaskan komitmen peribadinya terhadap integriti dan amanah dalam memimpin negara, sambil menyifatkan kritikan terhadap dirinya sebagai sesuatu yang boleh diterima.
Namun, beliau menegaskan bahawa prinsip tidak menyalahgunakan wang rakyat merupakan perkara yang tidak boleh dikompromi.
“Saya boleh janji satu. Apa pun orang boleh hentam saya, saya terima. Tapi saya tak curi duit rakyat. Yang kedua, kita pegang ini amanah, kita kerja kuat,” katanya.
Beliau berkata, cita-cita untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang hebat memerlukan kerjasama semua kaum dan wilayah, tanpa mengira latar belakang.
Anwar turut menyeru rakyat supaya bersama-sama membina kekuatan negara dengan mengangkat keupayaan terbaik setiap komuniti, termasuk Melayu, Cina, India serta masyarakat Sabah dan Sarawak.
“Ini Malaysia boleh jadi dengan kerjasama semua; the best Malays, the best Chinese, the best Indians, the best from Sarawak, Sabah.
“Kita kumpul yang baik-baik ini, kita angkat Malaysia jadi number one,” katanya.
Seruan itu, menurut beliau, menjadi asas kepada usaha membina sebuah negara yang maju dan berdaya saing melalui perpaduan serta kerjasama seluruh rakyat.
Mengakhiri ucapannya, Anwar melaungkan slogan “Pakatan!” yang disambut gemuruh oleh sorakan penonton dengan laungan “Harapan”.



