Peluang penerbit swasta semakin terhad, PTVM gesa kerajaan tambah peruntukan RTM

KUALA LUMPUR – Persatuan Penerbit Televisyen Malaysia (PTVM) menggesa kerajaan menambah peruntukan perolehan rancangan Radio Televisyen Malaysia (RTM) serta mengkaji semula dasar perolehannya susulan kebimbangan terhadap peluang syarikat penerbitan swasta yang semakin terhad.

Gesaan itu dibuat selepas pengumuman keputusan Perolehan Rancangan Swasta RTM Fasa 2 baru-baru ini yang menurut persatuan berkenaan memperlihatkan cabaran semakin besar dihadapi syarikat penerbitan tempatan untuk mendapatkan projek dan meneruskan operasi.

Presiden PTVM, Dato’ Jurey Latiff Rosli berkata, kekangan peruntukan RTM bukan sahaja menjejaskan kelangsungan syarikat penerbitan, malah memberi kesan langsung kepada peluang pekerjaan pengarah, penulis skrip, pelakon, kru produksi serta keseluruhan ekosistem industri kandungan kreatif negara.

Menurut beliau, kerajaan perlu mengubah pendekatan terhadap peruntukan RTM dengan melihatnya sebagai pelaburan strategik dalam pembangunan ekonomi kreatif dan bukannya sekadar perbelanjaan membeli rancangan televisyen.

“Belanjawan 2027 yang bertemakan ‘Malaysia MADANI: Menggapai di Langit, Mengakar di Bumi’ membawa aspirasi besar untuk memperkukuh ekonomi negara dan meningkatkan daya saing perusahaan tempatan.

“Aspirasi ini perlu turut diterjemahkan dalam pembangunan industri kandungan kreatif negara,” katanya dalam kenyataan media semalam.

Jurey berkata, konsep ‘Menggapai di Langit’ seharusnya diterjemahkan melalui usaha membangunkan syarikat penerbitan Malaysia yang kukuh, berdaya saing dan mampu menembusi pasaran antarabangsa.

Sementara itu, konsep ‘Mengakar di Bumi’ pula perlu bermula dengan memperkukuh asas industri melalui peluang perniagaan berterusan kepada syarikat penerbitan tempatan supaya mereka mampu menyediakan pekerjaan kepada penggiat industri.

Sehubungan itu, PTVM mahu Kementerian Kewangan mempertimbangkan tambahan peruntukan khusus bagi perolehan rancangan RTM supaya lebih banyak syarikat penerbitan berpeluang menghasilkan kandungan berkualiti.

Pada masa sama, persatuan itu mencadangkan supaya sistem dan dasar perolehan RTM dikaji semula secara menyeluruh dengan mengambil kira keperluan pembangunan industri dalam jangka panjang.

Jurey menegaskan bahawa sistem perolehan kerajaan tidak sepatutnya hanya tertumpu kepada proses pemilihan projek atau pembelian kandungan, sebaliknya perlu berfungsi sebagai instrumen pembangunan syarikat penerbitan tempatan.

Katanya, dasar berkenaan perlu mengambil kira pembangunan kapasiti syarikat, peningkatan keupayaan produksi, pemilikan harta intelek (IP), kesinambungan perniagaan serta peluang menembusi pasaran antarabangsa.

“Kita tidak mahu syarikat penerbitan terus berada dalam kitaran mendapatkan satu projek, menyiapkannya dan kemudian kembali menunggu peluang perolehan berikutnya tanpa ruang yang mencukupi untuk berkembang.

“Sistem perolehan kerajaan seharusnya bukan sekadar mekanisme membeli kandungan, tetapi menjadi pemangkin kepada pembangunan syarikat penerbitan tempatan yang lebih kukuh dan mampan,” katanya.

Beliau berpandangan, kebergantungan kepada projek secara bermusim tanpa kesinambungan perniagaan menyukarkan syarikat penerbitan membina kapasiti kewangan, mengekalkan tenaga kerja mahir dan membuat pelaburan jangka panjang dalam teknologi serta pembangunan kandungan.

PTVM turut menyambut baik komitmen kerajaan dan Kementerian Komunikasi untuk memperkasakan ekonomi kreatif sebagai antara sektor yang berpotensi menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.

Bagaimanapun, Jurey mengingatkan bahawa aspirasi tersebut perlu disokong dengan peruntukan mencukupi, dasar perolehan yang berorientasikan pembangunan industri serta ekosistem perniagaan yang membolehkan syarikat tempatan meningkatkan daya saing.

“Jika kita benar-benar mahu menjadikan industri kandungan kreatif sebagai penyumbang penting kepada ekonomi negara, kita mesti bermula dengan memperkukuh syarikat penerbitan yang menjadi nadi kepada keseluruhan ekosistem industri.

“Kita bukan sekadar mahu melahirkan lebih banyak penerbitan, tetapi mahu membangunkan lebih banyak syarikat penerbitan Malaysia yang berjaya, mampan dan mampu bersaing di peringkat global,” katanya.

Beliau berharap Kementerian Kewangan dan Kementerian Komunikasi memberikan perhatian serius terhadap cadangan PTVM supaya agenda memperkasakan industri kreatif di bawah Belanjawan 2027 dapat diterjemahkan kepada peluang ekonomi sebenar kepada penggiat industri.

“Industri kreatif Malaysia mesti mampu Menggapai di Langit, dengan syarikat penerbitan tempatan yang terus kukuh Mengakar di Bumi,” katanya.

— SuaraTV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat