KUALA LUMPUR- Kerajaan terus memperkukuh kesiagaan pertahanan negara dengan menjalinkan kerjasama dan diplomasi pertahanan di peringkat rantau ASEAN dan pentas global sebagai langkah menguruskan cabaran di Laut China Selatan.
Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, kerajaan memahami wujud cabaran di Laut China Selatan iaitu pertikaian tuntutan bertindih antara negara anggota ASEAN seperti Malaysia, Vietnam dan Filipina serta tuntutan bertindih dengan China ke atas perairan sesetengah negara ASEAN.
Katanya, selain itu keinginan dan persaingan kuasa-kuasa besar untuk hadir dan mendominasi perairan rantau ini.
“Justeru, bagi menghadapi cabaran itu, kerajaan mengambil langkah mempelbagai dan mengukuh diplomasi pertahanan melalui kerjasama bilateral dengan negara-negara yang diyakini dan dipercayai seperti Jepun, Thailand, Vietnam dan Australia.
“Fokus kerjasama ini adalah perkongsian maklumat, pemindahan kepakaran, pembangunan kapasiti serta pelaksanaan eksesais dan operasi berjadual bagi meningkatkan Kesedaran Domain Maritim.
“Selain itu, kita mengukuhkan kerjasama dan diplomasi pertahanan secara multilateral termasuklah melalui platform Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN (ADDM) yang membabitkan semua menteri pertahanan ASEAN dan ADMM Plus.
“Lapan negara lain turut terbabit seperti Amerika Syarikat, China, Korea Selatan, New Zealand dan Russia dan Perjanjian Pertahanan Lima Negara (FPDA) termasuklah United Kingdom dan Singapura,” katanya di Dewan Rakyat, pada Rabu menurut BH pada Rabu.
Beliau menjawab soalan William Leong Jee Keen (PH-Selayang) yang meminta Menteri Pertahanan menyatakan pendirian kerajaan dalam menghadapi
peningkatan ketegangan serta eskalasi ketenteraan di rantau Asia Pasifik khususnya langkah yang akan dijalankan dalam memastikan keselamatan negara dan kestabilan ASEAN dapat dijaga.
Mohamed Khaled berkata, melalui semua platform itu, kerajaan sentiasa menegaskan pendirian yang keamanan dan kestabilan Asia Pasifik hanya dapat dipelihara melalui ASEAN aman, stabil dan bersatu.
“Kerajaan juga berpendirian Asia Tenggara perlu kekal sebagai Zon Aman, Bebas dan Berkecuali (ZOPFAN), ia mesti mengambil pendekatan yang neutral tetapi tegas dan berimbang.
“Mana-mana negara yang ingin berurusan dengan ASEAN perlu menghormati prinsip dan komitmen yang terkandung dalam Perjanjian Persahabatan dan Kerjasama di Asia Tenggara (TAC) dan Konvensyen Undang-Undang Laut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu 1982 (UNCLOS),” katanya.



