KUALA LUMPUR: Perjalanan dalam dunia seni bukan hanya berkisar tentang persembahan di atas pentas dan populariti, sebaliknya turut menguji ketahanan seseorang apabila berdepan pelbagai cabaran di luar dunia hiburan.
Bagi penyanyi rock wanita era 1990-an, Rahimah Sukor atau lebih dikenali sebagai Emma Rockers, perjuangan mendapatkan keadilan dalam kes saman fitnah yang dihadapinya kini memasuki fasa baru selepas berjaya dalam rayuan di Mahkamah Tinggi.
Emma sebelum ini memfailkan saman fitnah terhadap pemain gitar kumpulan BPR, Awang, pada 2022. Dalam perkembangan terbaru, Mahkamah Tinggi mengetepikan keputusan terdahulu berkaitan pemberian ganti rugi am dan ganti rugi teladan kepada Awang.
Keputusan itu sekali gus membuka laluan untuk kes berkenaan dibicarakan semula di hadapan hakim Mahkamah Sesyen yang baru.
Mengulas perkembangan tersebut, Emma melahirkan rasa syukur dan percaya setiap perkara yang berlaku mempunyai hikmah tersendiri. Beliau juga berharap proses perundangan yang sedang berlangsung dapat memberikan keadilan sewajarnya kepada semua pihak.
Biarpun berdepan perjalanan kes yang masih belum selesai, Emma tidak mahu perkara itu menghalang langkahnya untuk terus aktif dalam industri hiburan serta mengembangkan perniagaan yang diusahakan.
“Sebagai anak seni yang masih aktif dalam industri hiburan dan turut mengusahakan perniagaan di belakang tabir, saya akan terus melangkah ke hadapan serta melaksanakan setiap usaha dengan penuh integriti dan profesionalisme,” katanya.
Bagi Emma, keutamaan ketika ini adalah meneruskan tanggungjawab dalam bidang yang diceburinya sambil memberikan kepercayaan sepenuhnya kepada proses perundangan.
Sementara itu, peguam yang mewakili Emma, Abd Rahim Ali daripada Tetuan Rahim, Aidil & Partners, mengesahkan bahawa kes berkenaan akan dibicarakan semula di hadapan hakim Mahkamah Sesyen yang baru.
Bagaimanapun, beliau menjelaskan kes tersebut masih belum didaftarkan semula dan pihaknya sedang menunggu surat pemakluman daripada pendaftar Mahkamah Rendah berhubung tarikh sebutan.
“Kes ini akan dibicarakan semula di hadapan hakim Mahkamah Sesyen yang baru. Bagaimanapun, setakat ini, kes berkenaan masih belum didaftarkan semula.
“Pihak pendaftar Mahkamah Rendah akan mengeluarkan surat pemakluman kepada kami berhubung tarikh sebutan kes terlebih dahulu.
“Buat masa ini, belum ada sebarang tarikh ditetapkan dan kami masih menunggu pemakluman rasmi daripada pihak mahkamah,” jelasnya.
Di sebalik perkembangan kes berkenaan, Emma turut membuktikan dirinya masih aktif memainkan peranan dalam industri hiburan, termasuk di peringkat antarabangsa.
Terbaru, beliau memainkan peranan dalam membawa penyanyi terkenal Malaysia, Aina Abdul, untuk tampil sebagai juri jemputan khas dalam sebuah program televisyen terbitan Mediacorp Suria di Singapura.
Penglibatan itu sekali gus membuka peluang kepada Aina untuk mewakili Malaysia di pentas hiburan negara jiran, selain memperlihatkan usaha Emma dalam membina jaringan dan peluang kerjasama merentasi sempadan.
Jelas, perjalanan Emma sebagai anak seni tidak hanya tertumpu kepada dunia persembahan, malah turut melibatkan usaha di belakang tabir dalam membuka ruang kepada bakat tempatan untuk melangkah lebih jauh.
Ketika kes saman fitnah itu menanti tarikh prosiding seterusnya, Emma memilih untuk terus memberikan tumpuan kepada kerjaya, perniagaan dan peluang baru dalam industri hiburan, dengan harapan segala urusan perundangan dapat diselesaikan secara adil.


