Kerajaan Malaysia putuskan untuk tidak mengekstradisi Dr Zakir Naik ke India

KUALA LUMPUR- Kerajaan memutuskan untuk tidak mengekstradisi pendakwah terkenal, Dr Zakir Naik ke India dan tidak memberi sebarang komitmen menyerahkan beliau kepada negara itu.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, keputusan itu dibuat berdasarkan hak Malaysia bawah Artikel 6 Triti Ekstradisi yang ditandatangani bersama Kerajaan India pada 2010 serta peruntukan Akta Ekstradisi 1992.

Setakat ini, katanya, kerajaan tiada menerima sebarang permohonan ekstradisi baharu daripada India berhubung Dr Zakir.

Beliau berkata, permohonan rasmi ekstradisi daripada Kerajaan India sebelum ini diterima pada 19 Januari 2018, manakala nota diplomatik yang memohon pertimbangan semula diterima pada 29 Mei 2020.

“Kerajaan Malaysia memutuskan untuk tidak mengekstradisi Dr Zakir Naik ke India.

“Oleh itu, tiada sebarang komitmen diberikan untuk mengekstradisi beliau,” katanya dalam jawapan bertulis disiarkan di laman web Parlimen.

Beliau menjawab soalan Datuk Dr Ahmad Marzuk Shaary (PN-Pengkalan Chepa) mengenai status terkini permohonan ekstradisi Dr Zakir oleh Kerajaan India, termasuk tarikh permohonan rasmi terkini diterima, lapor BH pada Selasa.

Ahmad Marzuk turut meminta penjelasan sama ada dokumen dan keterangan yang dikemukakan memenuhi kehendak Akta Ekstradisi 1992 serta perjanjian Malaysia-India, selain sama ada kerajaan memberi sebarang komitmen mengenai ekstradisi pendakwah berkenaan.

September lalu, media melaporkan kerajaan digesa memperjelaskan status perundangan serta diplomatik bagi permohonan ekstradisi yang dibincangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dengan rakan sejawat dari India, Narendra Modi.

Setiausaha Agung Pas Datuk Seri Takiyuddin Hassan dilaporkan berkata, Anwar juga digesa memperincikan isu dibincangkan serta persefahaman dicapai dalam pertemuan kedua-dua pemimpin itu.

Takiyuddin dipetik berkata, penjelasan juga perlu diberikan, sama ada keterangan dan dokumentasi bagi menyokong permohonan New Delhi kepada Kuala Lumpur itu sudah memenuhi syarat ditetapkan undang-undang Malaysia bagi tujuan ekstradisi.

Ini susulan laporan media sebelum itu bahawa isu ekstradisi Dr Zakir yang dikehendaki di India berikutan dakwaan pengubahan wang haram dan ucapan berunsur kebencian, ialah antara perkara dibincangkan dalam rundingan antara Anwar dengan wakil negara itu.

Laman berita India New Delhi Television melaporkan Anwar mengesahkan perbincangan mengenai perkara itu diadakan secara ‘tertutup’, dipercayai berlangsung di New Delhi.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat