KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan, Kerajaan Madani telah bersetuju melaksanakan penambahbaikan dalam aspek kemajuan kerjaya pegawai kanan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Menurut Anwar, ini sebagai pengiktirafan terhadap amanah dan tanggungjawab besar yang digalas dalam mempertahankan kedaulatan serta keselamatan negara.
“Kesepakatan ini dicapai sewaktu saya mempengerusikan pertemuan khas bersama kepimpinan tertinggi ATM, selaras dengan keperluan memperkukuh keupayaan pertahanan negara dalam mendepani landskap keselamatan dan geostrategik dunia yang semakin kompleks dan mencabar.
“Pertemuan ini turut memberi ruang untuk kami meneliti tahap kesiapsiagaan setiap ketumbukan, selain keperluan perolehan dan penyelenggaraan aset pertahanan bagi memastikan keupayaan operasi ATM sentiasa berada pada tahap terbaik.
“Saya menghargai pandangan dan maklum balas langsung daripada kepimpinan ATM kerana setiap dasar dan keputusan kerajaan mesti berpaksikan keperluan sebenar di lapangan, bukan sekadar pertimbangan di atas kertas,” kata Anwar.
Jelas Perdana Menteri lagi, Kerajaan Madano akan terus memberikan perhatian sewajarnya terhadap keperluan dan kebajikan warga ATM.
“Sesungguhnya, mempertahankan kedaulatan dan keamanan tanah air bukan sekadar tanggungjawab pasukan keselamatan, tetapi amanah besar yang mesti kita junjung bersama,” katanya.


