PRN Melaka: Farzana yakin pengundi nilai prestasi kerajaan persekutuan, sasar menang di Klebang

KLEBANG — Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Klebang, Farzana Hayani Mohd Nasir yakin pengundi mampu menilai prestasi kerajaan Persekutuan di bawah pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam menentukan pilihan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Beliau berkata, kemenangan PH di Melaka penting bagi memastikan rakyat negeri itu turut menikmati manfaat serta hasil pembangunan yang dilaksanakan kerajaan Persekutuan.

Menurutnya, pelbagai perkembangan, pertumbuhan dan penambahbaikan negara di bawah pentadbiran semasa perlu diteruskan agar manfaatnya dapat disalurkan kembali kepada rakyat.

“Rakyat tengok banyak pertumbuhan, perbaikan, penambahbaikan Malaysia di bawah pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Jadi kita perlu menang di Klebang dan di Melaka sendiri. Kita perlu menang Pakatan Harapan di Melaka supaya kita dapat manfaat yang sama, dapat kebaikan yang sama sebab akhirnya kebaikan semua yang daripada kerajaan ini, berkesan dengan kerajaan Persekutuan, dapat kepada rakyat, kembali kepada rakyat semula,” katanya ketika ditemui Suara TV.

Mengulas mengenai penerimaan masyarakat pada hari pertama kempen, Farzana berkata, beliau bersama jentera parti terus mengatur gerak kerja sebaik sahaja selesai proses penamaan calon bagi memastikan pergerakan kempen sepanjang 14 hari berjalan lancar.

Katanya, beliau dan jentera kempen turut mengadakan sesi walkabout di sekitar kawasan kedai Gebang bagi mendekati masyarakat serta menyampaikan tawaran dan perkara yang ingin dibawa untuk kawasan berkenaan.

“Alhamdulillah, kita terus, selepas selesai sahaja penamaan calon, kita terus mengadakan mesyuarat bersama jentera-jentera untuk pergerakan mereka bagi 14 hari seterusnya. Dan kita terus turun walkabout di kawasan kedai Gebang dan laluan situ.

“Alhamdulillah, penerimaan orang-orang ini, ada yang memang betul-betul kita tahu dia akan menyokong kita dan walaupun kita turun, kalaupun dia tak menyokong kita pun, dia masih menerima kehadiran kita dan masih mendengar apa yang kita nak bawa untuk Gebang,” katanya.

Dalam pada itu, Farzana yakin pengundi tidak akan terkeliru dengan pelbagai perkembangan dan isu politik yang timbul, sebaliknya mampu membuat penilaian berdasarkan prestasi serta pentadbiran kerajaan.

Beliau berkata, rakyat mempunyai kemampuan untuk melihat sendiri perkembangan negara di bawah kepimpinan Anwar dan berharap perkara itu turut menjadi pertimbangan dalam menentukan mandat di Melaka.

“Insya-Allah, pengundi pandai menilai, pandai melihat dan pandai contohi bagaimana kerajaan Persekutuan sekarang ditadbir oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Insya-Allah Pakatan Harapan akan menang di Negeri Melaka,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat