MELAKA – Semua calon, jentera dan penyokong parti bertanding diseru untuk berkempen secara adil, matang dan bermaruah pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16 kali ini, demikian kata Ketua Penerangan UMNO Datuk Seri Azalina Othman Said.
Dalam satu kenyataan hari ini, beliau berkata semua pihak juga perlu mematuhi undang-undang pilihan raya serta peraturan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), hormati perbezaan pendapat dan jauhi sebarang provokasi yang menyentuh sensitiviti agama, kaum dan institusi diraja (3R) ketika berkempen.
“Pilihan raya seharusnya menjadi medan persaingan idea, dasar dan tawaran khidmat bukannya ruang untuk mencetuskan permusuhan serta perpecahan dalam kalangan rakyat,” katanya dalam kenyataan itu.
Pada masa sama, Azalina juga mengingatkan kepada orang ramai supaya lebih berwaspada terhadap cabaran ekosistem digital, termasuk penggunaan akaun automatik atau not untuk menyebarkan naratif secara berulang dan berskala besar, dakwaam sekatan capaian atau ‘shadow ban’ serta penurunan kandungan oleh platform digital.
“Sebarang dakwaan sedemikian perlu dinilai berdasarkan bukti dan maklumat yang sahih.
“Jangan mudah terpengaruh dengan jumlah tanda suka, komen atau perkongsian luar biasa. Semak sumber, teliti fakta dan fikir sebelum berkongsi,” kata Azalina.
Beliau meminta orang ramai sekiranya terdapat kandungan yang disyaki mengandungi berita palsu, fitnah, penyamaran identiti atau pelanggaran berkaitan 3R, mereka disaran membuat aduan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
“Kesalahan pilihan raya pula boleh dilaporkan kepada SPR, Polis Diraja Malaysia (PDRM) atau Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengikut bidang kuasa masing-masing,” jelasnya.
Azalina berkata orang ramai boleh menggunakan saluran rayuan platform digital untuk membuat rayuan berkaitan kandungan yang diturunkan.
Beliau menggesa orang ramai menyimpan segala bukti berkaitan, termasuk tangkap layar, pautan dan maklumat masa supaya sebarang aduan dapat diteliti dengan sewajarnya.
“Saya ingin menegaskan bahawa pendirian Barisan Nasional (BN) adalah jelas, kempen kita mesti berteraskan calon, rekod perkhidmatan, manifesto dan tawaran penyelesaian kepada rakyat.
“Kita mahu rakyat melihat keupayaan, pengalaman serta perancangan calon untuk membawa Melaka ke hadapan,” katanya.
Azalina berkata BN tidak akan terlibat dalam kempen hitam dan mahu mendapatkan mandat berdasarkan kekuatan sendiri dan bukan dengan menjatuhkan pihak lain.
“Rakyat Melaka berhak membuat pilihan berdasarkan fakta, bukan fitnah atau sentimen kebencian,” menurut beliau.
Beliau menyeru kepada seluruh anggota jentera Penerangan UMNO supaya memainkan peranan aktif dalam memperluas capaian mesej dan kandungan rasmi calon-calon BN di media sosial.
Semua pengundi perlu ikuti akaun rasmi calon, tonton, berikan tanda suka, tinggalkan komen yang membina dan kongsikan kandungan mereka.
“Setiap interaksi tulen dan organik membantu memperluas penyampaian maklumat kepada lebih ramai pengundi.
“Laksanakan tanggungjawab ini melalui akaun sebenar, dengan bahasa yang sopan dan berfakta, tanpa serangan peribadi atau tindakan yang boleh mencemarkan imej parti,” katanya.
Beliau turut merakamkan ucapan tahniah kepada kesemua 79 calon yang telah mengemukakan kertas penamaan bagi 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka pada proses penamaan calon hari ini.
“Kesediaan untuk tampil menawarkan khidmat kepada rakyat merupakan satu amanah dan tanggungjawab yang wajar dihormati, tanpa mengira parti atau perbezaan pendirian politik,” katanya.



