PRN Melaka: Lim Ban Hong mahu pertahan Klebang, tekad teruskan projek dan khidmat rakyat

KLEBANG – Calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Klebang, Datuk Lim Ban Hong mahu meneruskan usaha pembangunan dan menyelesaikan isu setempat yang masih memerlukan perhatian sekiranya diberikan mandat sekali lagi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Penyandang kerusi itu berkata, sepanjang tempoh perkhidmatannya, beberapa projek pembangunan dan masalah di kawasan berkenaan telah berjaya diselesaikan, namun masih terdapat tugasan yang perlu diteruskan bagi memastikan Klebang menjadi kawasan lebih baik.

“Kita telah selesaikan sesetengah projek di kawasan ini dan masalah, dan kita juga ada kerja-kerja yang perlu kita teruskan untuk menjadikan kawasan ini lebih baik,” katanya.

Beliau berkata, peluang untuk terus mewakili penduduk Klebang akan membolehkan usaha penambahbaikan yang telah dimulakan sebelum ini diteruskan, selain membawa kawasan itu ke tahap pembangunan lebih tinggi.

“Saya yakin dan percaya sekiranya Barisan Nasional diberi peluang di DUN Klebang sekali lagi, kita akan boleh menambah baik dan membawa DUN Klebang ini ke satu tahap yang lebih tinggi dan lebih baik,” katanya ketika ditemui Suara TV selepas proses penamaan calon di sini, hari ini.

Sehubungan itu, Lim memohon sokongan warga Klebang agar memberikan peluang kepada BN untuk meneruskan khidmat dan usaha pembangunan yang telah dilaksanakan di kawasan berkenaan.

“Saya mohon kepada warga dan pengundi DUN Klebang supaya dapat sama-sama memberi sokongan kepada calon Barisan Nasional kerana selama ini saya bersama dengan ahli-ahli Barisan Nasional telah bekerja dan berkhidmat untuk kawasan ini,” katanya.

Mengulas proses penamaan calon, beliau berkata urusan berkenaan berjalan lancar apabila pencalonannya diterima sebagai salah seorang daripada empat calon yang bakal bertanding di DUN Klebang.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada penyokong BN yang hadir memberikan sokongan sejak awal pagi.

“Jadi, saya mengambil peluang ini untuk pertama sekali mengucapkan terima kasih kepada semua penyokong Barisan Nasional yang dari pagi sampai sekarang bersama dengan kita untuk memberi sokongan kepada pencalonan.

“Begitu juga kepimpinan Barisan Nasional termasuk Presiden saya, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong, Timbalan Presiden Datuk Dr. Mah yang sama-sama datang,” katanya.

Menurutnya, sokongan turut diterima daripada kepimpinan UMNO, MIC serta rakan strategik daripada Perikatan Nasional (PN) yang bersama-sama membantu sepanjang proses penamaan calon.

“Begitu juga kepimpinan UMNO, MIC dan juga rakan strategik dari Perikatan Nasional yang sama-sama membantu,” katanya.

DUN Klebang menyaksikan pertandingan empat penjuru pada PRN Melaka kali ini membabitkan penyandang, Datuk Lim Ban Hong daripada Barisan Nasional (BN), yang dicabar Farzana Hayani Mohd Nasir (Pakatan Harapan), Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad (Bersatu) dan Young Jie Yu (Parti Bersama Malaysia).

Keempat-empat calon disahkan layak bertanding selepas proses penamaan calon di Kompleks Japerun Klebang, pagi tadi.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat