Oleh Zihan Zari
KUALA LUMPUR – Projek Pembinaan Pusat Reintegrasi Bagan Datuk, Perak bernilai RM123 juta dijangka memberikan manfaat yang besar kepada Jabatan Penjara Malaysia, dalam memperkukuh sistem koreksional negara ke arah sistem yang moden, berteraskan nilai kemanusiaan serta memenuhi piawaian antarabangsa.
Terletak di kawasan berhampiran Jambatan Bagan Datuk dan Kompleks Sukan Bagan Datuk, pusat baharu ini dibina di atas tapak seluas 66.367 ekar yang akan dilaksanakan dalam tempoh pembinaan selama 42 bulan dan dijangka siap sepenuhnya pada Mei 2030.
Majlis Penyerahan Surat Setuju Terima (SST) bagi Projek Pembinaan Pusat Reintegrasi Bagan Datuk telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Dr. Ahmad Maslan di Ruang Mezzanine, Blok G, Menara Kerja Raya, dekat sini baru-baru ini.
Turut hadir, Ketua Pengarah JKR, Dato’ Ir. Ibrahim Esa; Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) KDN, Ainah Mohd Soon; Setiausaha Bahagian (SUB) Pembangunan KDN, Hj. Ahmad Fuad Apandi; dan Pengarah Penjara Perak, Timbalan Komisioner Penjara, Fayrouz Hj. Ahmad Zawawi.
Kementerian Kerja Raya (KKR) dalam kenyataan berkata, projek strategik di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) ini merupakan langkah signifikan dalam memperkasakan kemudahan keselamatan negara.
“Projek yang berkonsepkan agro penjara ini mampu memuatkan 400 orang prospek pada satu-satu masa, di samping dilengkapi infrastruktur lengkap termasuk kuarters kediaman kakitangan.
“Pusat ini bertindak sebagai jambatan integrasi yang menghubungkan semula penghuni dengan dunia luar bagi memastikan proses pemasyarakatan berjalan secara selamat, holistik, dan produktif.
Usaha ini juga selaras dengan hala tuju Jabatan Penjara Malaysia untuk mewujudkan persekitaran yang lebih kondusif bagi prospek serta kakitangan,”katanya.
Katanya lagi, pembinaan pusat ini juga dapat mengurangkan kepadatan melampau di penjara-penjara induk seluruh negara secara langsung dengan memindahkanprospek yang layak ke program pemulihan dalam komuniti yang dikenali sebagai Orang Diselia (ODS).
“Berbanding penjara konvensional yang dipenuhi sel berjeriji besi, Pusat Reintegrasi direka bentuk berasaskan konsep asrama terbuka (open-dormitory) bagi membina rasa tanggungjawab dan kepercayaan dalam diri ODS.
“Kemudahan baharu ini berupaya menempatkan kesemua blok utama di dalam satu kawasan bersepadu bagi menyokong fungsi pentadbiran, kawalan keselamatan, serta pelaksanaan program pemulihan secara berkesan.
“Reka bentuk fizikalnya yang unik berjaya mengimbangi aspek keselamatan dengan keperluan pemulihan secara optimum untuk membentuk insan produktif menerusi pemulihan yang efektif.
“Selain itu, penyediaan kemudahan kuarters dan kediaman anggota dalam kompleks ini turut menjadi nilai tambah dalam memastikan pegawai dan anggota sentiasa berada dalam keadaan bersiap siaga.
“Kemudahan ini juga dapat meningkatkan tahap kesiapsiagaan operasi serta mempercepatkan masa tindak balas (response time) dalam menghadapi sebarang situasi kecemasan, sekali gus menjamin kelancaran dan keberkesanan pelaksanaan tugas, ”ujarnya.
Ujarnya lagi, sepanjang tahun 2026, JKR melalui Cawangan Kerja Keselamatan (CKS) telah mengeluarkan 17 Surat Setuju Terima (SST) bernilai RM 1.0 billion (RM1,032,841,894.98) bagi pelaksanaan projek-projek di bawah KDN.
“KKR dan JKR terus komited dalam melaksanakan pembangunan infrastruktur awam negara seiring dengan agenda transformasi serta pembangunan Kerajaan MADANI, ”tambahnya. – SUARA.TV



