MELAKA TENGAH – Masalah banjir sesekali berlaku selepas hujan lebat menjadi antara fokus utama masalah yang perlu diatasi calon Pakatan Harapan (PH) Datuk Azman Abidin di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.13 Paya Rumput dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka kali ini.
Ketika ditemui pemberita selepas proses penamaan calon di Stadium Hang Jebat, di sini hari ini, beliau berkata masalah kesesakan lalu lintas dan juga kemudahan perumahan untuk rakyat juga akan diambil perhatian.
“Hendak selesaikan semua dalam masa singkat itu memang agak mustahil tetapi kita cuba selesai fasa demi fasa mengikut yang mana kita boleh selesaikan, kita selesaikan,” katanya.
Azman berkata pihaknya juga akan menyelesaikan masalah berkaitan perumahan seperti yang pernah diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini ada satu lagi projek perumahan di kawasan Paya Rumput akan diwujudkan untuk rakyat.
“Kita telah umumkan bahawa ada satu lagi perumahan di Paya Rumput, perumahan rakyat yang kita akan lancarkan juga untuk Paya Rumput.
“Apapun dalam pilihan raya kita tidak boleh janji apa-apa tetapi apa yang saya boleh beritahu, saya akan tawarkan perkhidmatan saya, pengalaman saya berkhidmat dengan Perdana Menteri, Kerajaan Persekutuan, hubungan baik dengan kerajaan negeri sangat penting untuk manfaat orang Paya Rumput,” katanya.
Azman yang juga Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengganggap kerjasama satu elemen penting dan jika beliau diberi mandat dan diberi peluang mewakili pengundi di Paya Rumput, beliau akan laksanakan yang terbaik untuk rakyat dengan hubungan baik dengan Kerajaan Persekutuan.
“Kerjasama antara kerajaan negeri dan juga persekutuan harus baik untuk kita menyelesaikan segala masalah yang memebelenggu rakyat di Paya Rumput,” jelasnya.
Menyentuh populasi penduduk di DUN Paya Rumput yang berbilang kaum, Azman berkata beliau sedar bahawa keperluan setiap kaum itu berbeza tetapi kawasan DUN Paya Rumput juga ada kawasan kampung dan ada kawasan separa bandar.
“Keperluannya, masalahnya berbeza tetapi secara keseluruhan selain dari isu-isu infrastruktur seperti kemudahan banjir, isu jalan raya dan kemudahan lain saya akan fokus juga kepada isu pendidikan di Paya Rumput terutamanya sekolah-sekolah di sini.
“Saya nak lihat bagaimana untuk meningkatkan mutu pendidikan dan pencapaian murid-murid di kawasan Paya Rumput,” katanya.
Azman turut berharap untuk menjadi DUN Paya Rumput sebagai pusat kecemerlangan untuk pendidikan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) untuk meningkatkan kemahiran golongan muda supaya apabila mereka bekerja akan menerima pendapatan lebih tinggi daripada biasa selepas kemahiran mereka ditingkatkan.
Azman akan berdepan pertandingan tiga penjuru berdepan calon Perikatan Nasional (PN) Rafie Ahmad yang merupakan seorang tokoh korporat dan calon Parti Bersama Malaysia (Bersama) Abdul Rashid Abu Bakar untuk PRN Melaka pada kali ini.



