PRN Melaka : Wee Ka Siong yakin rekod perkhidmatan Lim Ban Hong jadi kelebihan di Klebang

KLEBANG – Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong menyifatkan rekod perkhidmatan dan pengalaman Datuk Lim Ban Hong sebagai wakil rakyat antara kelebihan calon Barisan Nasional (BN) itu dalam mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Klebang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16.

Beliau berkata, Lim yang sudah lama berkhidmat di kawasan berkenaan mempunyai hubungan baik dengan masyarakat setempat, sekali gus memberikan kelebihan dalam menghadapi saingan empat penjuru kali ini.

Katanya, sambutan meriah penyokong BN yang hadir mengiringi calon itu ke pusat penamaan calon turut memperlihatkan semangat jentera parti dalam menghadapi pilihan raya kali ini.

“Selama ini Datuk Lim Ban Hong sudah lama bertapak di Klebang. Beliau telah mempunyai satu rekod prestasi yang baik dan selaku wakil rakyat, beliau menjaga kawasan dengan baik serta amat digemari oleh masyarakat setempat.

“Ini satu kelebihan kepada beliau, tetapi apa pun kita akan berdepan dengan pelbagai dugaan. Kita akan bertungkus-lumus memastikan setiap undi itu penting,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengiringi Lim ke Pusat Penamaan Calon di Kompleks Japerun Klebang, di sini, hari ini.

Mengulas persaingan di Klebang, beliau berkata BN tidak boleh mengambil mudah sebarang cabaran dan perlu bekerja keras sepanjang tempoh berkempen.

“Kita akan memastikan setiap undi itu dapat kita rebut dan calon diberikan mandat baharu serta mandat yang lebih padu. Bagi kita, soal menang kalah dalam satu pilihan raya perkara biasa, tetapi kita mesti berentap, lawan tetap lawan dan kita akan gunakan sebaik-baik peluang ini untuk mendapat mandat daripada rakyat,” katanya.

Sementara itu, menyentuh keputusan BN memberikan dua kerusi tambahan kepada MCA iaitu Kota Laksamana dan Banda Hilir, Wee merakamkan penghargaan kepada Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh serta kepimpinan BN atas kepercayaan diberikan kepada parti itu.

Menurutnya, kedua-dua kerusi berkenaan merupakan kawasan majoriti pengundi Cina yang secara tradisinya dikuasai DAP, sekali gus menjadikan persaingan di kedua-dua kawasan itu sebagai cabaran besar kepada MCA.

Beliau berkata, MCA tidak pernah mengetepikan masyarakat setempat dan akan terus memberikan perhatian kepada setiap kawasan di bawah Parlimen Kota Melaka, termasuk di peringkat DUN.

“Kita sedar bahawa dalam keadaan ini bukan mudah kerana ini kubu kuat parti lawan. Kalau ini merupakan kubu kuat parti lawan, sudah tentunya kita kena menggemblengkan tenaga yang lebih untuk memastikan kita dapat setiap undi.

“Dua kerusi ini, Kota Laksamana mahupun Banda Hilir, merupakan kerusi yang majoriti Cina dan sudah secara tradisinya dikuasai oleh DAP sejak dahulu. Namun, kita tetap berentap,” katanya.

Dalam pada itu, Wee menyifatkan PRN kali ini sebagai referendum terhadap prestasi Kerajaan Pakatan Harapan (PH) selepas hampir empat tahun mentadbir, selain memberi peluang kepada rakyat menilai pencapaian kerajaan negeri.

“Saya anggaplah ini sebagai satu referendum terhadap sokongan kepada kerajaan, bagaimana orang melihat prestasi PH selama ini dan menunjangi kerajaan. Saya rasa ini sangat penting,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat