Cuma kukuhkan pentadbiran, CSA tidak ikat Ahli Parlimen Bersatu, Bebas dengan kerajaan – Adam Adli

KUALA LUMPUR- Pemeteraian Perjanjian Kepercayaan dan Perbekalan (CSA) antara kerajaan dengan Bersatu serta Ahli Parlimen Bebas tidak mengikat pendirian atau keputusan politik mana-mana pihak termasuk bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Pemangku Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Melaka Adam Adli Abd Halim berkata, semua pihak terbabit dalam perjanjian itu kekal bebas berdiri atas pendirian masing-masing, terutama memainkan peranan sebagai semak dan imbang di Dewan Rakyat sebagai pembangkang.

“Persetujuan ini sebenarnya satu langkah untuk mengukuhkan pentadbiran dan membolehkan kerajaan beri tumpuan terhadap pelaksanaan dasar serta pembangunan negara.

“Hal ini bertepatan semangat Kerajaan Madani yang sentiasa membuka ruang kerjasama terutama jika membabitkan kepentingan rakyat melangkaui sebarang perbezaan parti,” katanya pada sidang media di Bilik Gerakan Utama Pakatan Harapan (PH) di Bukit Piatu, lapor Bernama di Melaka.

Semalam, Kerajaan Madani menandatangani CSA dengan enam anggota Parlimen Bersatu diketuai Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin serta tujuh yang lain termasuk Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Adam Adli berkata, PH juga pernah menandatangani perjanjian seumpama CSA sewaktu berada di blok pembangkang di bawah pentadbiran bekas Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Ditanya mengenai impak perjanjian itu kepada kerjasama PH dengan Bersatu bagi menghadapi PRN Melaka, yang dijangka menyaksikan kedua-dua pihak bakal bertembung di empat kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), Adam Adli berkata gabungan itu tidak mempunyai sebarang masalah dengan perkara berkenaan.

“Di Melaka ini setiap parti bebas berpegang pada prinsip masing-masing, keputusan masing-masing dan kita hormati itu. Apa yang penting ialah kita menunjukkan kematangan politik dengan menjadikan agenda rakyat itu kepentingan utama,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan calon PH dan Bersatu berkemungkinan bersaing antara satu sama lain di DUN Ayer Keroh, Kelebang, Gadek dan Pengkalan Batu.

Sementara itu, Poay Tiong berkata, parti itu kekal bertanding di tujuh DUN biarpun terdapat pertambahan kerusi ditandingi rakan gabungan di dalam PH.

Semalam, Setiausaha Agung PKR Datuk Dr Fuziah Salleh berkata Mejar (B) Jaimi Dimon akan mewakili parti itu bertanding di DUN Ayer Limau, sekali gus menjadikan 10 kerusi ditandingi PKR berbanding sembilan diumumkan sebelum ini.

Parti Amanah turut menambah dua lagi calon iaitu Aminuddin Abdul Jalil di DUN Sungai Rambai manakala Junainah Sahat di DUN Taboh Naning, sekali gus menyaksikan PH bertanding di keseluruhan 24 kerusi pada PRN Melaka 14 Nov ini.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat