KUALA LUMPUR- Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan boleh terbubar dengan sendirinya pada Februari 2027 sekiranya tiada sidang diadakan sehingga tempoh berkenaan.
Situasi itu memerlukan kerajaan negeri pimpinan Menteri Besar Datuk Ismail Lasim menyelesaikan isu proklamasi membabitkan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan sesegera mungkin bagi membolehkan Sidang DUN diadakan, termasuk untuk pembentangan belanjawan negeri.
Bekas Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, kerajaan negeri belum memperoleh proklamasi untuk mengadakan Sidang DUN selepas tindakan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) yang bersetuju bahawa proklamasi penurunan takhta Tuanku Muhriz Tuanku Munawir bertarikh 19 April 2026 adalah sah dan berkuat kuasa.
Soalnya, jika sebelum ini Ismail tidak mengiktiraf Tuanku Muhriz sebagai pemerintah, siapakah yang akan memberikan proklamasi bagi membolehkan Sidang DUN diadakan?
“Isunya bukan soal siapa yang bertanggungjawab tetapi sampai bila Sidang DUN boleh ditangguhkan?
“Jika tidak ada sidang sehingga awal Februari tahun depan, DUN boleh terbubar dengan sendirinya.
“Persoalannya, jika sebelum ini mereka tidak mengiktiraf Tuanku Muhriz sebagai pemerintah, bagaimana mereka mahu mendapatkan proklamasi daripada baginda sendiri bagi membolehkan Sidang DUN diadakan,” katanya menurut laporan Utusan.
Kelmarin, Ismail memaklumkan, tiada pelantikan baharu bagi Ahli Exco Negeri Sembilan dalam masa terdekat.
Katanya, sebarang perkara mengenainya perlu menunggu keputusan mahkamah berhubung kesahihan pembatalan pelantikan 10 bekas Exco sebelum ini.
Ismail turut menafikan dakwaan bahawa beliau merancang menghadap Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, minggu ini.
Ujarnya, tumpuannya ketika ini adalah untuk memastikan Belanjawan Negeri Sembilan 2027 dapat dibentangkan pada 27 November ini.
Aminuddin berkata, Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) perlu mengambil tanggungjawab menyelesaikan kemelut yang mengheret pentadbiran kerajaan negeri dan rakyat.
“Jadi, saya serahkan kepada Kerajaan BN dan PN untuk menyelesaikan perkara itu. Mereka perlu mendapatkan proklamasi terlebih dahulu sebelum Sidang DUN dan pembentangan belanjawan dapat dilaksanakan.
Aminuddin menegaskan, beliau tidak pernah mengadakan pertemuan dengan mana-mana Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) BN dan PN selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.
“Saya tidak berjumpa dengan mana-mana ADUN. Nanti saya dikatakan mengambil peluang dalam keadaan sekarang,” katanya.
Konflik takhta Negeri Sembilan kian memuncak apabila MMKN Negeri Sembilan yang dipengerusikan Ismail pada bulan lalu sebulat suara bersetuju bahawa proklamasi penurunan takhta Tuanku Muhriz bertarikh 19 April 2026 adalah sah dan berkuat kuasa.
Sehubungan itu, Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan, Datuk Mohd. Zafir Ibrahim diminta untuk meneruskan proses pewartaan proklamasi penurunan takhta mengikut peraturan sedia ada.
Selain itu, MMKN turut mengambil ketetapan untuk menggantung tugas Setiausaha Kerajaan Negeri dan Penasihat Undang-Undang Negeri, Datuk Muzalmah Mustapha Kamal.
Ini susulan keengganan Mohd. Zafir mengambil sebarang tindakan pewartaan atau apa-apa tindakan pelaksanaan terhadap proklamasi bagi menurunkan takhta Tuanku Muhriz.
Rentetan itu, Tuanku Muhriz membatalkan pelantikan semua Exco berkuat kuasa serta-merta selepas didakwa melanggar sumpah.
Menurut Perkara XXXVIII (5) Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan (UUTKNS) 1959, seseorang Exco memegang jawatannya selagi diperkenan Yang di-Pertuan Besar.
Aminuddin berkata, ketidaktentuan pentadbiran menjejaskan kelancaran keputusan penting berkaitan pembangunan, pelaburan dan agenda ekonomi negeri sejak beberapa bulan lalu.
Katanya, pentadbiran hari ini gagal berfungsi dengan sempurna berikutan beberapa isu yang belum diselesaikan termasuk berkaitan institusi istana dan adat.
Tambahnya, keadaan itu berbeza berbanding pentadbirannya yang meneruskan kesinambungan dasar dan agenda pembangunan.
“Hampir 100 hari mereka mentadbir dan ini satu perkara yang tak pernah berlaku dalam sejarah negeri dan negara. Jadi saya harap bahawa mereka harus ada kebijaksanaan, mereka harus memikirkan keutamaan mereka hari ini adalah rakyat, bukan lagi hanya memikirkan parti dan kuasa.
“Bagi saya mereka telah diberi kuasa oleh rakyat tetapi hargailah kekuasaan yang diberikan itu oleh rakyat dan mereka harus menjalankan amanah ini dengan baik,” katanya.


