KUALA LUMPUR – Bersatu mendakwa Pas adalah punca Perikatan Nasional (PN) rosak dan berpecah-belah.
Ketua Penerangan Bersatu Datuk Tun Faisal Ismail Aziz berkata, Pas campur tangan dalam urusan dalam Bersatu sejak bulan Februari 2025. Tindakan Pas ini diakui sendiri oleh bekas pemimpin Bersatu yang hadir dalam pertemuan di ‘whitehouse’ ketika itu.
“Kedua, mereka menyokong pihak yang cuba menjatuhkan imam dalam Bersatu dengan cara yang tidak Islamik, melanggar Perlembagaan Bersatu, melanggar baiah dan sumpah atas nama Allah, memberi dan menerima rasuah untuk SD mengenepikan Presiden Bersatu ditandatangani.
“Adakah ‘lebai’ mengikut ajaran Islam jika berbuat begini? Pas ikut ajaran Islamkah apabila menyokong pihak yang cuba menjatuhkan imam dengan cara yang salah, dengan rasuah dan dengan melanggar baiah dan sumpah atas nama Allah?
“Ketiga, mereka membuat fitnah terhadap Bersatu dalam isu Perlis, Negeri Sembilan dan penolakan keahlian Pejuang dan Berjasa dalam salah satu Mesyuarat MT PN. Dalam isu pertukaran MB Pas di Perlis, ia berpunca daripada kelemahan MB Pas dan anaknya, berlarutan menjadi isu dalaman kalangan pemimpin Pas Perlis dan juga Istana, seterusnya menjadi isu dalam PN.
“Ketua Dewan Ulama Pas Negeri Perlis dan Mursyidul Am Pas sendiri menolak bahawa Bersatu bersalah dalam soal ni. Semasa menjelaskan dengan panjang lebar mengenai isu MB Pas di Perlis, bekas Timbalan Presiden Bersatu menjelaskan bahawa, Presiden Bersatu tidak bersalah dalam hal Perlis tetapi berlaku salah faham dan menurutnya yang bersalah adalah Setiausaha Agung Pas. Ini didengari oleh lebih 30 orang saksi dalam Mesyuarat tersebut.
“Keempat, Pas tidak amanah dalam melaksanakan keputusan-keputusan musyawarah dalam MT PN. Pelantikan Naib Presiden Pas sebagai Pengerusi PN sepatutnya hanya bagi tugas pentadbiran dan operasi harian. Telah ada persetujuan untuk meminda Perlembagaan PN bagi menyerahkan kuasa membuat keputusan dasar kepada Majlis Presiden. Itu telah tidak dilaksanakan oleh Pas dengan dua kali penangguhan.
“Begitu juga dalam soal memaklumkan status Ahli Parlimen Bersatu yang telah dipecat kepada Speaker dan pelantikan Ketua Pembangkang dalam kalangan Ahli Parlimen Pas. Pelaksanaan telah dilengahkan dan kemudiannya telah dilanggar oleh Presiden Pas tanpa merujuk MT PN,” kata Tun Faisal dalam kenyataan pada Rabu.
Bukan cuma itu beliau berkata, Pas bercakap tentang penyatuan Melayu-Islam kononnya, tetapi Pas yang memutuskan hubungan dengan Bersatu.
Ini dilakukan sebelum PRN Johor.
“Pas mengkhianati PN apabila melakukan rundingan dengan pihak luar di belakang-belakang, tanpa pengetahuan MT PN dan parti anggota PN. Ini yang disebut oleh Timbalan Presiden Umno, Pas tiada keikhlasan dan kesetiaan, tanpa rasa segan dan malu, mereka berselingkuh dengan semua parti. Ajaran mana yang Pas ikut sehingga menghalalkan pengkhianatan dan perselingkuhan?
“Bahkan, Pas gagal mentadbir PN secara telus dan mengikut Perlembagaan PN. Akibat pelanggaran aturan, keputusan Mesyuarat MT PN dan Perlembagaan PN, dan kegagalan Pas membuktikan mereka tidak melanggar Perlembagaan PN dan menafikan hak anggota PN, akhirnya Pendaftar Pertubuhan telah mengambil tindakan membatalkan pendaftaran PN.
“Tindakan-tindakan salah pemimpin Pas dalam PN ini tidak sepatutnya disokong oleh Timbalan Presiden Pas kerana jelas tindakan-tindakan ini salah dari segi undang-undang dan tidak mengikut ajaran Islam.
“Tidak kena caranya apabila Timbalan Presiden Pas meminta Bersatu meninggalkan PN sedangkan yang melakukan kesalahan, melanggar Perlembagaan PN, menindas, tidak amanah, khianat, tidak berlaku adil dan bertindak zalim adalah pentadbir PN dalam kalangan pemimpin Pas.
“Adakah Timbalan Presiden Pas sedang melindungi kemungkaran, ketidakadilan dan penindasan, serta mengamalkan assabiyah? soal beliau.



