Oleh Zihan Zari
SHAH ALAM – Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) menjadikan Program Sekolah Angkat MADANI (SAM) dan Karnival Pendidikan Perikanan bukan sahaja memberi tumpuan kepada penambahbaikan kemudahan sekolah, malah bagi memperluas pengetahuan serta minat pelajar terhadap sektor perikanan, kata Ketua Pengarahnya, Dato’ Hj. Adnan Hussain.
“Melalui penambahbaikan kemudahan dan penganjuran karnival ini, kita mahu menyediakan persekitaran pembelajaran yang lebih baik serta memberi peluang kepada pelajar mengenali sektor perikanan secara lebih dekat.
“Pendedahan ini diharap dapat menyemai minat generasi muda terhadap akuakultur, pemuliharaan sumber akuatik dan peluang pendidikan serta kerjaya dalam bidang perikanan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian dan Penyerahan Projek Sekolah Angkat MADANI (SAM) DOF kepada Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jalan Kebun, dekat sini baru-baru ini.
Turut hadir, Pengarah Perikanan Selangor, Noraisyah Abu Bakar; YDP PIBG SMK Jalan Kebun, Dato’ Sri Abdul Jalil Dato’ Bohari; Pengetua SMK Jalan Kebun, Rozilawati Md Mustapar; dan Pengarah Bahagian Dasar dan Perancangan Strategik DOF, Yazereen A. Bakar.
Adnan berharap pengalaman melalui karnival ini dapat mendorong pelajar untuk terus menimba ilmu, meneroka bidang baharu dan membangunkan kreativiti dalam memahami sektor perikanan.
Pada masa sama, karnival yang bertemakan ‘Mengenali Perikanan, Membina Generasi’ melibatkan 120 pelajar menerusi pelbagai aktiviti pendidikan dan interaktif.
Antaranya, pameran pendidikan perikanan, pengenalan ikan asli Malaysia, pertandingan kulinari ‘Pesona Rasa Akuakultur’ melalui cabaran memasak ikan kaloi, pertandingan hiasan akuarium serta sesi interaksi bersama pegawai perikanan.
Pemilihan ikan kaloi (Osphronemus goramy) dalam cabaran memasak tersebut turut memberi peluang kepada pelajar mengenali potensi spesies ikan air tawar dalam industri akuakultur dan pembangunan produk makanan.
Berdasarkan Perangkaan DOF tahun lalu, pengeluaran ikan kaloi di Selangor, Perak dan Sarawak merekodkan jumlah keseluruhan sebanyak 10.42 tan metrik dengan nilai borong RM187,854.68.
Manakala Selangor mencatatkan nilai borong tertinggi sebanyak RM142,294.60 daripada pengeluaran 4.07 tan metrik, manakala Perak merekodkan kuantiti pengeluaran tertinggi sebanyak 5.97 tan metrik dengan nilai borong RM37,960.00.
Sarawak pula telah menyumbang 0.38 tan metrik bernilai RM7,600.08. Pengeluaran tersebut melibatkan sistem kolam air tawar dan bekas lombong.
Statistik ini memperlihatkan potensi ekonomi penternakan ikan kaloi serta peluang yang boleh diterokai dalam bidang akuakultur, pemprosesan makanan dan keusahawanan.
Pendedahan seumpama ini membantu pelajar memahami hubungan antara pengeluaran ikan, pembangunan produk makanan dan peluang ekonomi berasaskan sumber perikanan tempatan.
Dalam perkembangan sama, DOF telah menyiapkan tiga komponen penambahbaikan kemudahan di SMK Jalan Kebun menerusi SAM dengan peruntukan RM100,000 yang diluluskan oleh Kementerian Kewangan Malaysia (MoF).
Inisiatif ini memberi manfaat kepada 3,500 pelajar, di samping memperluas pendedahan generasi muda terhadap sektor perikanan melalui pendidikan dan aktiviti interaktif.
Tiga komponen yang telah disiapkan ialah naik taraf bilik gerakan untuk aktiviti pelajar dan guru, penyediaan ruang parkir kenderaan bagi kemudahan ibu bapa serta pembaikan sebuah wakaf untuk kegunaan pelajar.
Penambahbaikan ini bertujuan menyediakan persekitaran sekolah yang lebih selesa dan kondusif bagi menyokong aktiviti pembelajaran serta pembangunan pelajar.
DOF merakamkan penghargaan kepada MoF atas kelulusan peruntukan serta pihak pengurusan SMK Jalan Kebun, para guru, pelajar dan semua pihak yang terlibat dalam menjayakan inisiatif ini.
Program SAM diharap dapat terus memperluas perkongsian ilmu dan kepakaran DOF dengan institusi pendidikan, sekali gus melahirkan generasi yang memahami kepentingan sektor perikanan kepada keterjaminan makanan dan pembangunan negara. – SUARA.TV



