Oleh Zihan Zari
KUALA LUMPUR – Setiap keputusan kejuruteraan yang melibatkan kepentingan awam perlu disokong oleh kompetensi, integriti dan pertimbangan profesional yang bertanggungjawab kerana sebarang kelemahan boleh memberi implikasi terhadap keselamatan masyarakat.
Tanggungjawab jurutera bukan sekadar memenuhi keperluan teknikal, tetapi turut memastikan pematuhan terhadap perundangan, etika dan standard keselamatan yang ditetapkan, kata Presiden Lembaga Jurutera Malaysia (LJM), Dato’ Ir. Ibrahim Esa.
Dr. Ibrahim berkata, setiap keputusan kejuruteraan membawa tanggungjawab besar kerana kesannya bukan sahaja terhadap sesuatu projek, tetapi juga keselamatan orang ramai. Justeru, kompetensi dan integriti profesional mesti menjadi keutamaan.
“Sijil Amalan bukan sekadar kelayakan tambahan, sebaliknya membawa tanggungjawab profesional yang besar, khususnya apabila keputusan kejuruteraan melibatkan keselamatan dan kepentingan masyarakat.
“Sebagai badan kawal selia profesion kejuruteraan di bawah Akta Pendaftaran Jurutera 1967, LJM terus komited mengekalkan standard kompetensi, integriti dan akauntabiliti profesional demi melindungi keselamatan serta kepentingan awam, ”katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, sejajar dengan penekanan terhadap kompetensi profesional itu, seramai 780 calon menduduki Peperiksaan Kompetensi Profesional 2026 (Professional Competency Examination-PCE 2026) anjuran LJM yang berlangsung secara serentak di Kuala Lumpur, Sabah dan Sarawak pada 24 dan 25 Oktober lalu.
Daripada jumlah tersebut, 649 calon telah menduduki peperiksaan di Bangunan Peperiksaan, Universiti Malaya (UM), Kuala Lumpur, 76 calon di Swinburne University of Technology, Kuching, Sarawak dan 55 calon di Bangunan Institut Latihan, Jabatan Kerja Raya (JKR), Kota Kinabalu, Sabah.
PCE merupakan antara syarat penilaian kompetensi bagi Jurutera Profesional (PE) yang berhasrat memperoleh Sijil Amalan untuk menjadi Jurutera Profesional dengan Sijil Amalan (PEPC).
Bagaimanapun, tidak semua jurutera diwajibkan menjadi PEPC. Kelayakan ini diperlukan bagi Jurutera Profesional yang ingin menjalankan amalan kejuruteraan profesional tertentu, termasuk menyediakan dan mengemukakan pelan, reka bentuk serta dokumen kejuruteraan kepada pihak berkuasa mengikut keperluan undang-undang.
Peperiksaan ini merangkumi Kertas Umum, yang menilai kefahaman terhadap perundangan dan etika profesion, serta Kertas Teknikal, yang menguji kompetensi mengikut bidang pengkhususan kejuruteraan. – SUARA.TV



