IPCC mula siasatan salah laku berhubung kematian Allahyarham Noorizwan

PUTRAJAYA – Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis (IPCC) telah memulakan siasatamn salah laku berhubung kematian Allahyarham Noorizwan Zulkefly semasa berada dalam tahanan atau jagaan polis.

Siasatan itu adalah susulan rujukan kes oleh Jabatan Intergriti dan Pematuhan Standard (JIPS), Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Dalam satu kenyataan, IPCC menyatakan pihaknya bertanggungjawab melaksanakan fungsi pemantauan dan siasatan terhadap perkara berkaitan tatakelakuan anggota polis mengikut bidang kuasa yang diperuntukkan oleh undang-undang sebagai sebuah badan pemantau bebas yang ditubuhkan di bawah Akta Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis 2022 [Akta 839].

“Dalam hubungan ini, seksyen 26 Akta 839 memperuntukkan kewajipan PDRM untuk merujuk kejadian tertentu kepada IPCC, termasuk kematian seseorang semasa berada dalam tahanan atau jagaan polis.

“Peruntukan ini membolehkan kejadian sedemikian diteliti melalui mekanisme pemantauan bebas yang diwujudkan di bawah akta berkenaan,” menurut kenyataan itu.

IPCC telah mengambil tindakan untuk menjalankan siasatan bagi meneliti fakta, dokumen, keterangan dan keadaan berkaitan kejadian tersebut, selaras dengan mandat dan tatacara yang diperuntukkan di bawah Akta 839, katanya.

IPCC menjelaskan siasatan dijalankan secara bebas, saksama dan berasaskan keterengan yang diperoleh serta disahkan melalui proses yang berkenaan.

“Dapatan siasatan akan dikemukakan kepada Suruhanjaya Pasukan Polis mengikut peruntukan undang-undang terpakai,” katanya.

Menurut IPCC, rujukan dan pelaksanaan siasatan ini tidak boleh ditafsirkan sebagai suatu kesimpulan awal bahawa telah berlaku salah laku oleh mana-mana pihak.

Kata pihaknya, Sebarang penilaian, dapatan atau syor hanya akan dibuat berdasarkan hasil siasatan dan peruntukan undang-undang berkaitan.

“IPCC komited untuk melaksanakan tanggungjawab pemantauan secara telus, berintegriti dan profesional, dengan memastikan setiap perkara yang dirujuk kepadanya diteliti sewajarnya, di samping menghormati hak serta kepentingan semua pihak yang terlibat.

“Sebarang perkembangan yang sesuai untuk dimaklumkan kepada orang ramai akan
disampaikan melalui saluran rasmi IPCC, tertakluk kepada keperluan menjaga
kerahsiaan dan integriti proses siasatan,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat