KUALA LUMPUR — Tindakan Presiden MCA meninggalkan majlis pengumuman calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada Sabtu lalu dilihat memperlihatkan ketidakpuasan hati dalam kalangan parti komponen gabungan itu, khususnya berhubung pembahagian kerusi.
Ahli Parlimen Hulu Langat, Sany Hamzan, berkata rundingan mengenai pembahagian kerusi dan pemilihan calon sepatutnya diselesaikan sebelum majlis pengumuman calon diadakan.
Bercakap kepada Suara TV, beliau berkata tindakan berkenaan menimbulkan persoalan sama ada semua parti komponen BN telah mencapai kata sepakat dalam menentukan pembahagian kerusi yang bakal ditandingi.
“Saya nampak ada keretakan yang berlaku. Apabila calon diumumkan, ini bermaksud segala perbincangan, termasuk rundingan, sepatutnya sudah selesai.
“Namun, apabila kita melihat laporan yang menyatakan bahawa Presiden MCA sendiri keluar dari dewan, perkara itu memperlihatkan adanya rasa tidak puas hati.
“Ini menunjukkan terdapat perbincangan yang tidak mencapai kata sepakat sehingga menyebabkan Presiden MCA keluar dan menyatakan rasa tidak puas hati terhadap pembahagian kerusi yang ditetapkan oleh kepimpinan Barisan Nasional, khususnya bagi MCA,” katanya ketika ditemui di Parlimen hari ini.
Sany turut mempersoalkan proses membuat keputusan dalam BN, terutama apabila melibatkan kepentingan parti komponen yang telah lama bekerjasama dalam gabungan itu.
Beliau berkata semua parti sepatutnya diberikan ruang untuk menyuarakan pandangan masing-masing sebelum sesuatu keputusan penting dimuktamadkan.
“Dalam Pakatan Harapan, semua parti dilayan sama rata. Kita mendengar semua pandangan dan suara daripada parti-parti komponen dalam Pakatan Harapan,” katanya.
Mengulas lanjut, Sany berkata insiden di Melaka itu memperlihatkan wujudnya rasa tidak puas hati yang perlu ditangani oleh kepimpinan BN, terutama jika gabungan itu berhasrat meneruskan rundingan kerjasama dengan Perikatan Nasional (PN).
“Namun, apabila isu ini berlaku baru-baru ini di Melaka, khususnya berkaitan pembahagian kerusi Barisan Nasional, pada pandangan saya, ia memperlihatkan keretakan dan rasa tidak puas hati dalam kalangan parti komponen Barisan Nasional itu sendiri,” katanya.
Beliau berpandangan penyelesaian terhadap isu pembahagian kerusi dan kepentingan parti komponen penting bagi memastikan sebarang kerjasama politik dapat dipersetujui bersama.



