Zahid dedah projek 2026 dibatalkan walaupun peruntukan tersedia, rakyat Sabah dan Sarawak jadi mangsa

KUALA LUMPUR – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mendedahkan terdapat projek pembangunan bagi tahun 2026 yang diarahkan supaya dibatalkan oleh Ketua Setiausaha kementerian walaupun peruntukan untuk melaksanakannya telah tersedia.

Beliau berkata, tindakan itu amat mengecewakan kerana pihak yang paling terkesan ialah masyarakat luar bandar, khususnya di Sabah dan Sarawak yang masih memerlukan pelbagai kemudahan asas serta pembangunan infrastruktur.

Menurutnya, keadaan menjadi lebih membimbangkan apabila peruntukan yang telah disediakan masih belum disalurkan bagi membolehkan projek berkenaan dilaksanakan.

“Apa yang berlaku baru-baru ini membuatkan saya bersimpati dengan rakan-rakan dari Sabah dan Sarawak.

“Terdapat projek-projek bagi tahun 2026 yang telah diarahkan untuk dibatalkan oleh Ketua Setiausaha kementerian, sedangkan peruntukannya telah tersedia. Namun, dana masih belum disalurkan,” katanya ketika berucap di Dewan Rakyat hari ini.

Ahmad Zahid berkata, beliau terpaksa membangkitkan perkara tersebut secara terbuka kerana tindakan membatalkan projek yang telah dirancang akhirnya menyebabkan rakyat kehilangan manfaat pembangunan yang sepatutnya diterima.

“Pihak yang paling terkesan ialah masyarakat di Sabah dan Sarawak, begitu juga masyarakat di kawasan kampung lain.

“Keadaan ini tidak sepatutnya berlaku. Saya memohon maaf kerana terpaksa bercakap secara terus terang mengenai perkara ini,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa setiap projek yang telah diumumkan oleh kerajaan sepatutnya dilaksanakan dan bukannya dibatalkan tanpa penyelesaian yang sewajarnya.

“Pada pandangan saya, sekiranya sesuatu projek telah diumumkan, projek itu mesti dilaksanakan. Jangan pula melaksanakan projek yang tidak diumumkan,” tegasnya.

Lebih mengejutkan, Ahmad Zahid membayangkan masalah tersebut bukan hanya berlaku di kementerian yang berada di bawah tanggungjawabnya, sebaliknya turut melibatkan banyak kementerian lain.

“Perkara ini telah menjadi masalah kepada banyak kementerian, bukan hanya kementerian saya,” katanya.

Bagaimanapun, beliau tidak menamakan kementerian atau pegawai tertentu yang terlibat dalam arahan pembatalan projek berkenaan.

Ahmad Zahid menegaskan perkara sedemikian perlu diberikan perhatian serius bagi memastikan projek pembangunan yang telah diumumkan dan diperuntukkan dana benar-benar dapat dilaksanakan untuk manfaat rakyat.

Beliau turut berharap masalah pentadbiran dan pelaksanaan projek seperti itu tidak berulang, khususnya apabila ia melibatkan kepentingan masyarakat luar bandar di Sabah dan Sarawak.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat