Exco AMK dakwa saman Rafizi terhadap Ramanan cubaan mengalihkan perhatian daripada isu sebenar

KUALA LUMPUR – Langkah Datuk Seri Rafizi Ramli memfailkan saman ke atas Naib Presiden PKR, Datuk Seri R. Ramanan tidak menjawab persoalan tentang bukti dakwaan yang dibuat sebelum ini, hanya mahu mengalihkan perhatian daripada isu sebenar.

Exco Angkatran Muda Keadilan (AMK) Dzul Hilmi Zainol dalam satu kenyataan berkata Rafizi perlu memberikan bukti sahih untuk menyokong dakwaan yang dibuat dan bukannya biarkan ia berlarutan.

“Bagi saya, Rafizi tidak boleh hanya berani membuat dakwaan, tetapi apabila diminta menjelaskan dan mengemukakan bukti, isu itu bertukar menjadi pertikaian undang-undang dengan pihak yang mempersoalkan beliau.

“Saya nak tegaskan, saman-menyaman itu hak beliau. Tetapi jangan sampai tindakan mahkamah dijadikan isu yang menenggelamkan persoalan asal.

“Rakyat nak tahu, apa asas kepada dakwaan yang dibuat sebelum ini? Kalau ada bukti, kemukakan bukti. Kalau ada fakta, bentangkan fakta. Jangan biarkan rakyat terus tertanya-tanya,” katanya.

Sebelum ini. Rafizi mengarahkan pasukan peguamnya memulakan tindakan saman ke atas Ramanan susulan kenyataannya yang didakwa berunsur fitnah dalam satu sidang media.

Dalam saman itu, Rafizi mendakwa sidang media itu mengesahkan beliau belum mengambil tindakan mahkamah terhadapnya berhubung dakwaan suapan RM9.5 juta.

Beliau turut memberi cadangan supaya Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Keistimewaan Parlimen atas dakwaan membuat kenyataan tidak benar di Dewan Rakyat.

Dzul Hilmi berkata, Rafizi perlu bertanggungjawab terhadap setiap dakwaan yang dibuat.

Menurut beliau, standard sama perlu terpakai kepada semua pihak dan seseorang yang lantang meminta pihak lain menjawab persoalan juga perlu bersedia memberikan penjelasan apabila dirinya dipersoalkan.

“Politik bukan soal siapa paling petah bercakap atau siapa paling cepat membawa isu ke mahkamah.

“Politik soal tanggungjawab terhadap setiap kenyataan yang dibuat kepada rakyat. Kalau kita melemparkan dakwaan yang serius, kita mesti bersedia mempertahankan dakwaan itu dengan fakta,” katanya.

Bagaimanapun, Dzul Hilmi berkata, beliau tidak mahu mendahului mahkamah atau membuat tuduhan yang belum dibuktikan.

Menurutnya, tindakan menyaman seseorang tidak dengan sendirinya menjawab persoalan yang dibangkitkan sebelum ini.

“Rafizi perlu faham, rakyat bukan mudah dialihkan perhatian. Rakyat mahu jawapan, bukan polemik dan dendam politik yang tidak berkesudahan.

“Kalau benar dakwaan itu berasas, jelaskan. Kalau tidak, berilah penjelasan yang meyakinkan. Jangan biarkan persepsi bahawa beliau hanya berani menyerang orang lain, tetapi sukar menerima apabila dirinya sendiri dipersoalkan,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat