Pelan Tindakan Jerebu Diaktifkan Sejak Februari, Penguatkuasaan Dipertingkat – Arthur

PUTRAJAYA — Kerajaan memperkukuh pelan tindakan menangani jerebu menerusi penguatkuasaan terhadap pembakaran terbuka, pemantauan kawasan berisiko tinggi serta kerjasama diplomatik dengan negara jiran bagi mengawal pencemaran rentas sempadan.

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata kerajaan telah mengambil langkah pencegahan sejak awal tahun ini, termasuk mengaktifkan Pelan Tindakan Pembakaran Terbuka Kebangsaan pada 15 Februari 2026.

Menurutnya, kesiapsiagaan agensi turut diperkukuh menerusi Mesyuarat Jawatankuasa Induk Jerebu dan Cuaca Kering Kebangsaan yang dipengerusikannya pada 15 Jun lalu.

Malaysia juga jelasnya telah mengadakan pertemuan dengan rakan sejawat Indonesia di Bali pada 8 Julai, disusuli mesyuarat peringkat menteri ASEAN pada 9 Julai, selain meneruskan rundingan dan menawarkan bantuan rasmi sepanjang Ogos dan September.

“Saya memahami keresahan dan kemarahan rakyat apabila masalah jerebu berlarutan sehingga menjejaskan kesihatan, persekolahan, aktiviti ekonomi dan kehidupan seharian.

“Tindakan telah bermula sebelum jerebu menjadi semakin serius. Namun, saya mengakui hasilnya masih belum memenuhi harapan rakyat,” katanya pada sidang media mengenai isu jerebu, hari ini.

Dalam aspek penguatkuasaan domestik, Arthur berkata Jabatan Alam Sekitar (JAS) mengambil 3,433 tindakan penguatkuasaan sepanjang 3 Ogos hingga 16 Oktober 2026, susulan 2,361 aduan berkaitan pembakaran terbuka.

Tindakan itu jelasnya merangkumi 2,361 arahan di lapangan, 201 notis amaran, 39 kompaun dan dua kes yang dibawa untuk tindakan mahkamah.

Beliau berkata pemantauan berterusan turut dilaksanakan menerusi 1,408 rondaan darat dan 78 penerbangan dron bagi mengesan serta membendung kegiatan pembakaran terbuka.

“Dari sudut kawalan domestik, Kementerian mengamalkan pendekatan tanpa toleransi (zero tolerance) ke atas perbuatan pembakaran terbuka,” katanya.

Beliau berkata JAS turut merekodkan 14 kejadian kebakaran berskala besar sepanjang Monsun Barat Daya, membabitkan 10 kes di Sarawak dan empat di Johor, dengan keluasan keseluruhan 201.85 hektar.

Kesemua kejadian itu berjaya dipadamkan sepenuhnya menerusi kerjasama agensi berkaitan.

Bagi mengurangkan risiko kebakaran tanah gambut, kerajaan turut membangunkan 570 sekatan saliran, 107 telaga tiub dan 15 kolam takungan, selain menyediakan 111 alat pengukur paras air tanah serta enam menara tinjau setakat Disember 2025.

Sementara itu, Arthur berkata usaha menangani jerebu rentas sempadan akan diteruskan melalui Perjanjian ASEAN Mengenai Pencemaran Jerebu Merentas Sempadan (AATHP).

“Malaysia turut mengemukakan cadangan Diplomasi Sains dan Dana Jerebu Mampan menerusi mekanisme ASEAN bagi memperkukuh pencegahan, kesiapsiagaan dan pemantauan serantau.

“Kita menghormati hubungan baik dengan Indonesia, namun mengharapkan tindakan lebih berkesan bagi mengawal kebakaran di puncanya serta mengambil tindakan terhadap pihak yang bertanggungjawab.

“Malaysia telah bersedia membantu. Kita mengharapkan Indonesia mempercepat tindakan mengawal kebakaran di puncanya dan mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang bertanggungjawab.

“Keutamaan kita jelas , kebakaran mesti dikawal, pencemaran mesti dikurangkan dan rakyat mesti dilindungi,” katanya.

Dalam masa sama, orang ramai digesa merujuk Sistem Pengurusan Indeks Pencemar Udara Malaysia (APIMS) sebagai sumber rasmi bacaan kualiti udara bagi mendapatkan maklumat terkini dan mengambil langkah berjaga-jaga sewajarnya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat