KUALA LUMPUR – Larangan penggunaan aplikasi navigasi Waze hanya terpakai kepada penjawat awam dan bukan orang ramai secara keseluruhan.
Menteri Digital Gobind Singh Deo berkata, larangan tersebut juga terpakai ketika urusan rasmi kerajaan.
“Larangan ini berdasarkan kepada dua aspek melibatkan data. Walaupun tidak menggunakan Waze, pergerakan kita masih dapat ditentukan melalui aplikasi ini.
“Jika melihat kepada dokumen perjanjian (sebelum mengaktifkan aplikasi), kita bersetuju dengan syarat-syarat tertentu, iaitu di bawah bidang kuasa undang-undang Israel dan itu menjadi satu masalah kepada kita.
“Sebab itu adanya larangaan penggunaan Waze kerana ia khusus merujuk kepada aspek perundangan dan keselamatan kerana data yang dikumpul dan diselaraskan oleh Israel,” katanya di Dewan Rakyat pada Khamis.
Sebelum ini Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dilapor memaklumkan, Mesyuarat Jawatankuasa Keselamatan Siber Negara (JKSN) yang bersidang pada Rabu memutuskan melarang penggunaan Waze berkuat kuasa serta-merta.
Shamsul Azri berkata, semua ketua setiausaha kementerian dan ketua jabatan hendaklah memastikan keputusan berkenaan dimaklumkan kepada semua pegawai di bawah seliaan masing-masing, termasuk agensi dan jabatan berkaitan untuk dilaksanakan serta-merta, memetik Sinar Harian.
Sementara itu beliau menjelaskan, aplikasi navigasi TuJu yang dibangunkan dengan kerjasama Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) diwujudkan untuk tujuan khusus antaranya melihat aliran lebuh raya, keadan di tol serta kawasan Rehat dan Rawat (RNR).
“Namun sekarang aplikasi berkenaan dikembangkan untuk memberi perkhidmatan luar daripada lebuh raya, khususnya membolehkan aliran trafik menuju ke lebuh raya tertentu dan sebagainya.
“Kementerian mengambil maklum aduan orang ramai dan isu tersebut dalam perhatian kita. Namun saya tegaskan, tidak ada dinyatakan hanya boleh guna TuJu sahaja, masih boleh guna Google Maps dan sebagainya,” jelas beliau.



