Entiti Perundangan Waze Masih di Tel Aviv, Itulah Kebimbangan Kerajaan – Prof Dr Azmi Hassan

KUALA LUMPUR — Keputusan kerajaan melarang penjawat awam menggunakan aplikasi navigasi Waze dilihat sebagai langkah berwaspada yang wajar dalam melindungi keselamatan data kerajaan serta maklumat peribadi pengguna daripada risiko penyalahgunaan oleh pihak asing.

Ahli Geostrategi dan Felo Kanan Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara (NASR), Prof. Dr. Azmi Hassan berkata, kedudukan entiti perundangan Waze yang masih berada di Tel Aviv, Israel, meskipun telah diambil alih oleh Google dari Amerika Syarikat, perlu diberi perhatian.

Bercakap kepada Suara TV, beliau menjelaskan bahawa kedudukan entiti perundangan sesebuah syarikat boleh menimbulkan risiko sekiranya kerajaan negara berkenaan mempunyai kuasa untuk mengarahkan syarikat itu melakukan tindakan tertentu.

“Ya, betul. Walaupun Waze telah diambil alih oleh Google dari Amerika Syarikat, tetapi hakikatnya entiti perundangannya masih berada di Tel Aviv, iaitu pemilik asal Waze.

“Apa yang dimaksudkan dengan entiti perundangan ini adalah Tel Aviv. Katakan kerajaan Israel umpamanya boleh mengarahkan Google, yang memiliki Waze, untuk melakukan sesuatu.

“Sebagaimana yang berlaku terhadap Starlink dan Starshield yang digunakan oleh Ukraine, Musk kata ini adalah arahan daripada White House. Beliau sendiri tidak mempunyai kuasa sebagai pemilik, tetapi White House sebagai kerajaan telah mengarahkan perkara itu,” katanya.

Menurutnya, situasi itu mempunyai persamaan dengan kebimbangan keselamatan yang pernah dibangkitkan terhadap penggunaan aplikasi TikTok dalam kalangan anggota tentera Amerika Syarikat sebelum berlaku perubahan pemilikan syarikat berkenaan.

“Jadi, ini dikatakan sama juga dengan TikTok yang pada asalnya dimiliki oleh ByteDance dari China. Pentagon mengarahkan pihak tentera supaya tidak menggunakan TikTok pada ketika itu kerana takut Beijing menggunakannya untuk mencuri maklumat melalui aplikasi ini. Tetapi sekarang, TikTok dimiliki 100 peratus oleh syarikat pelabur dari Amerika.

“Jadi, itulah kebimbangan kita. Bukan sahaja Malaysia melarang penjawat awam menggunakan Waze, malah Filipina dan Iraq juga melakukan perkara yang sama,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, risiko keselamatan data turut menimbulkan persoalan mengenai kemungkinan aplikasi navigasi digunakan untuk mendapatkan maklumat tentang pergerakan pihak tertentu, khususnya dalam kawasan konflik.

“Jadi, kita kena fikir secara sinis bagaimana Israel dapat menjejaki musuh-musuhnya, seperti pejuang Hamas di Gaza ataupun Hezbollah di Lubnan.

“Kemungkinan melalui penggunaan Waze sekiranya pejuang-pejuang tersebut menggunakan aplikasi berkenaan. Jadi, itulah kebimbangan kita, kebimbangan kerajaan,” katanya.

Dalam masa sama, beliau berpandangan keputusan kerajaan itu boleh membuka ruang untuk memperluas penggunaan aplikasi navigasi yang dibangunkan oleh syarikat tempatan.

“Dalam masa yang sama, perkara ini boleh menggalakkan penggunaan aplikasi yang dibangunkan oleh anak-anak tempatan,” katanya.

Beliau menegaskan kebimbangan terhadap Waze masih wujud, terutama berkaitan tahap kepercayaan terhadap pengendalian data serta pematuhan kepada undang-undang antarabangsa.

“Jadi, kebimbangan terhadap Waze itu tetap ada kerana kita tidak boleh memberikan kepercayaan kepada kerajaan Israel untuk bertindak mengikut undang-undang antarabangsa,” katanya.

Terdahulu, Pejabat Perdana Menteri menerusi kenyataan media bertarikh 21 Oktober 2026 memaklumkan bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, memutuskan penggunaan aplikasi navigasi Waze dilarang dalam kalangan penjawat awam bagi melindungi maklumat kerajaan dan data peribadi pengguna daripada ancaman penyalahgunaan.

Kenyataan itu turut menyarankan rakyat Malaysia beralih kepada aplikasi alternatif tempatan seperti TuJu dengan mengambil kira aspek keselamatan dan perlindungan data peribadi.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat