Shuhaily sama sekali tidak berisiko larikan diri, malah bertugas jaga sempadan negara maka tak perlu bayar ikat jamin – peguam

KUALA LUMPUR – Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain wajar dilepaskan dengan bon peribadi tanpa perlu membayar wang ikat jamin di Mahkamah Majistret Sepang pada Rabu.

Peguam Kitson Foong berkata, anak guamnya berstatus Orang Kena Saman (OKS) wajar dilepaskan dengan jaminan bon peribadi, bukannya melalui ikat jamin.

Beliau berkata, sekiranya mahkamah memutuskan untuk mengenakan ikat jamin dengan seorang penjamin, jumlah RM1,000 bagi kedua-dua pertuduhan dianggap sebagai munasabah.

Peguam tersebut memohon mahkamah agar tidak mengenakan syarat tambahan terhadap Shuhaily termasuk menyerahkan pasport atau melapor diri di balai polis.

“Anak guam telah berkhidmat selama 26 tahun, pernah berkhidmat sebagai ‘atase’ polis di Washington DC.

Atase ialah pegawai yang ditugaskan kepada staf kedutaan, misi diplomatik atau agensi Kerajaan.

“Beliau juga merupakan bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman sebelum menerajui AKPS.

“Shuhaily sama sekali tidak berisiko untuk melarikan diri malah beliau merupakan individu yang menjaga sempadan negara,” katanya.

Dalam pada itu, Kitson turut memohon supaya Shuhaily dikecualikan daripada menghadiri pengurusan kes berkenaan.

Katanya, anak guam berjanji untuk mengikuti semua prosiding semasa perbicaraan kelak.

Selain Kitson, OKS turut diwakili peguam, Datuk Rosal Azimin Ahmad, Datuk Yaacob Md Sam, Datuk Dr Baljit Singh Sidhu, Datuk Akberdin Abdul Kader, Datuk Ahmad Zaidi Zainal, Md Yunos Shariff, Muhammad Rafique Rashid Ali dan Badruzzaman Ishak.

Yaacob juga bekas Hakim Mahkamah Rayuan di Putrajaya kemudian berkata, perintah bon sudah mencukupi bagi memastikan kehadiran anak guamnya ke mahkamah memandangkan kesalahan itu termasuk dalam pertuduhan yang boleh dijamin, lapor Sinar Harian.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Shahrizat Ismail mencadangkan OKS diberi ikat jamin sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin bagi setiap pertuduhan.

Katanya, jumlah itu disifatkan munasabah namun menyerahkan budi bicara mahkamah berhubung permohonan pengecualian kehadiran Mohd Shuhaily di sepanjang pengurusan kes.

“Kami hanya meminta tertuduh tidak mengganggu saksi-saksi pendakwaan,” katanya yang hadir bersama Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Sazali Omar, Nor Azizah Aling dan Nur Aqiilah Ahmad Rofaie.

Selepas mendengar permohonan kedua-dua pihak, Majistret, Khairatul Animah membenarkan OKS diberi ikat jamin sebanyak RM3,000 dengan seorang penjamin bagi semua pertuduhan.

Bagaimanapun, beliau menolak permohonan supaya Shuhaily dikecualikan kehadiran semasa pengurusan kes praperbicaraan.

Mahkamah menetapkan sebutan semula kes pada 25 November depan.

Pada 28 September lalu, tular video memaparkan seorang lelaki yang kelihatan seperti Shuhaily memarahi seorang individu di lokasi kejadian.

Susulan itu, pada 1 Oktober lalu, Shuhaily menyatakan kesediaannya menerima sebarang keputusan atau tindakan.

Semasa sidang akhbar, beliau tidak mahu KLIA menjadi seperti Selayang dan berharap lapangan terbang itu bebas daripada kegiatan ‘ulat’ warga asing.

Mengikut dua pertuduhan, dia didakwa sengaja menyebabkan kecederaan terhadap dua anggota polis berpangkat Lans Koperal, Muhammad Ekmal Sofwan Dirman, 25 dan Mohamad Faiz Saman, 40, di kaunter J, Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini jam 1.27 hingga 1.35 tengah hari 28 pada September lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat