BALI – Malaysia dan Indonesia bersetuju memperkukuh kerjasama antara agensi di peringkat pelaksanaan bagi menangani isu keselamatan kanak-kanak dalam talian, dengan Singapura turut dirancang menyertai inisiatif berkenaan.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, keselamatan dalam talian khususnya membabitkan kanak-kanak merupakan isu penting yang memerlukan perhatian dan tindakan bersama negara-negara di rantau ASEAN.
Menurut beliau, satu mesyuarat tiga hala membabitkan Malaysia, Indonesia dan Singapura sedang dirancang untuk diadakan pada Disember depan, tertakluk kepada kesesuaian jadual ketiga-tiga negara.
Perkara itu dimaklumkan selepas pertemuan dua hala beliau dengan Menteri Komunikasi dan Hal Ehwal Digital Indonesia, Meutya Hafid, di Bali, hari ini.
Fahmi berkata, walaupun negara-negara ASEAN mempunyai perundangan dan pendekatan pelaksanaan yang berbeza, terdapat persamaan dasar serta mekanisme yang boleh dimanfaatkan untuk memperkukuh kerjasama serantau.
Beliau berharap inisiatif tiga negara itu dapat menjadi pemangkin kepada penyertaan lebih banyak negara ASEAN dalam usaha melindungi kanak-kanak dan golongan muda daripada ancaman dalam talian.
Dalam pertemuan sama, kedua-dua menteri turut membincangkan usaha memperkukuh kerjasama sektor komunikasi dan digital, termasuk pengurusan media sosial, hubungan dengan penyedia platform digital serta pembaharuan pengurusan spektrum.
Fahmi turut menyambut baik hasrat Indonesia untuk meningkatkan kerjasama antara Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dengan Kementerian Komunikasi dan Hal Ehwal Digital republik itu.
Menurut beliau, pengalaman MCMC dalam mengendalikan aduan awam berkaitan media sosial boleh dimanfaatkan pihak berkuasa Indonesia bagi memperkukuh mekanisme pengawalseliaan platform digital.
Selain itu, Fahmi turut menjemput Meutya menghadiri persidangan M360 ASEAN 2027 yang bakal berlangsung di Malaysia, susulan perjanjian kerjasama beberapa tahun antara Persatuan Sistem Komunikasi Mudah Alih Global (GSMA) dengan Malaysia bagi tempoh 2026 hingga 2028.
Sementara itu, kerjasama keselamatan digital serantau turut menjadi perhatian dalam pertemuan tidak rasmi Fahmi dengan Menteri Pembangunan Digital dan Penerangan Singapura, Josephine Teo, di Lapangan Terbang Antarabangsa Ngurah Rai, Bali, semalam.
Josephine menerusi media sosialnya memaklumkan bahawa perbincangan mereka menyentuh perkembangan sektor telekomunikasi kedua-dua negara, termasuk teknologi komunikasi selamat kuantum serta keselamatan dalam talian bagi kanak-kanak dan golongan muda.
Beliau turut menyatakan hasrat untuk menerima kunjungan Fahmi ke Singapura dalam masa terdekat.
Fahmi berada di Bali atas jemputan penganjur Bali Tech Week 2026 bagi menyampaikan ucaptama pada persidangan teknologi berkenaan.
Beliau diiringi Timbalan Pengarah Urusan (Pengawalseliaan) MCMC, Datuk Dr Mohamed Sulaiman Sultan Suhaibudden serta Setiausaha Pertama (Ekonomi) Kedutaan Malaysia di Jakarta, Fakhrul Arifin Mohammad Zulkifly.


