KUALA LUMPUR – Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) mengambil tindakan merobohkan pondok haram yang dijadikan tempat pengumpulan barang kitar semula selain menjadi tempat berkumpul dan lokasi melepak warga asing di sekitar Pandan Mewah.
Langkah diambil dalam operasi bersepadu yang diadakan semalam susulan aduan orang ramai daripada satu video yang diterima tentang sebuah pondok haram yang dibina tanpa izin di Padang Jalan Mewah 4 di Pandan Mewah.
“Pondok haram yang dibina tanpa izin telah dirobohkan sepenuhnya.
“Beberapa sangkar burung turut diturunkan dan kawasan sekitar juga telah dibersihkan bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman penduduk setempat kembali terjamin,” menurut MPAJ dalam satu hantaran di media sosial Facebook semalam.
MPAJ memaklumkan semakan dan siasatan yang dibuat telah mengesan sebuah pondok haram berkenaan.
Bertindak daripada maklumat diterima, struktur dirobohkan serta-merta dan sisa binaan dibersihkan sepenuhnya.
“MPAJ memandang serius sebarang pembinaan struktur tanpa kebenaran di atas tanah awam, terutamanya yang boleh mencetuskan ketidakselesaan atau mengganggu ketenteraman komuniti kita.
“Tindakan perobohan dan pembersihan kawasan dilaksanakan bersama-sama KDEB Waste Management, melibatkan pembersihan pondok, semak samun serta pengumpulan barang kitar semula di kawasan lapang berkenaan.
“Operasi turut menggunakan dua jengkaut MPAJ dan enam tong RORO daripada KDEB bagi membantu kerja perobohan serta pembersihan kawasan,” katanya.



