Upacara perkahwinan sivil tidak boleh disamakan dengan ritual perkahwinan keagamaan – JPN

KUALA LUMPUR – Upacara perkahwinan sivil oleh pihak yang diberi kuasa di bawah undang-undang tidak boleh disamakan dengan ritual keagamaan, demikian jelas Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) melalui satu kenyataan hari ini.

Menurut jabatan itu, kuasa tersebut termaktub di bawah Akta Membaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1979 [Akta 164] dan ia tidak melibatkan pengambilalihan peranan pemimpin agama.

Dalam kenyataan itu, JPN menyeru semua pihak agar menghormati peruntukan undang-undang negara dan tidak menjadikan perbezaan antara urusan sivil dengan amalan keagamaan sebagai asas kepada penyebaran dakwaan yang tidak tepat atau mengelirukan masyarakat.

“Kerajaan sentiasa menghormati kebebasan beragama serta kepelbagaian adat dan budaya masyarakat Malaysia.

“Pada masa yang sama, pematuhan kepada undang-undang perkahwinan sivil adalah penting bagi memastikan hak dan kepentingan pasangan, anak-anak serta institusi keluarga terus terpelihara,” menurut kenyataan itu.

Sebelum ini, tular satu rakaman video menunjukkan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menyempurkan satu upacara perkahwinan sivil pasangan bukan Islam.

Jabatan itu memaklumkan, penularan video itu telah dijelaskan secara rasmi pada 25 Oktober 2025 yang mana ia merupakan sebahagian pengisian Majlis Sambutan Jubli Intan JPN sempena Hari Pendaftaran Negara 2023.

JPN akan terus memastikan setiap urusan perkahwinan sivil dilaksanakan secara teratur, profesional, dan berlandaskan undang-undang, dengan tetap menghormati kepelbagaian agama, adat dan budaya di negara ini.

Masyarakat perlu sentiasa memahami fakta dan peruntukan undang-undang yang berkaitan sebelum membuat sebarang tafsiran atau menyebarkan maklumat, khususnya dalam perkara yang menyentuh sensitiviti agama, katanya.

Kenyataan itu menyebut adalah penting untuk membezakan antara pelaksanaan upacara keagamaan dengan pengupacaraan serta pendaftaran perkahwinan sivil seperti yang diperuntukkan di bawah Akta 164.

“Setiap agama mempunyai upacara, adat dan amalan perkahwinan masing-masing, sama ada Buddha, Kristian, Hindu atau agama lain.

“Pelaksanaan ritual keagamaan tersebut merupakan urusan penganut dan pemimpin agama masing-masing, selaras dengan kepercayaan serta amalan agama berkenaan,” ujarnya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat