Selepas video kemarahan Tuanku Muhriz tular, MB kongsi pesanan khutbah supaya jauhi sikap sombong dan kebencian

KUALA PILAH: Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim, memuat naik catatan mengenai kekuatan jiwa, kemuliaan akhlak serta pesanan supaya menjauhi sifat sombong, kebencian dan kezaliman selepas tular video kemarahan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir terhadapnya.

Tanpa menyebut insiden tersebut atau nama Tuanku Muhriz, Ismail berkongsi pengajaran khutbah Jumaat bertajuk “Membenteng Jiwa dengan Solat” selepas menunaikan solat di Masjid Kariah Beting, Kuala Pilah, dalam kawasan DUN Juasseh, hari ini.

“Khatib berpesan, orang yang benar-benar menghayati makna sujud akan berusaha menjauhi sifat sombong, kebencian dan kezaliman.

“Dia menyedari bahawa setiap manusia ialah hamba Allah SWT yang wajib dihormati haknya dan diperlakukan dengan adil,” tulisnya.

Menteri Besar itu turut mengetengahkan pesanan bahawa sujud mendidik manusia mengawal keinginan untuk mendapat pujian, penghormatan dan keutamaan.

“Sujud juga melatih manusia mengawal nafsu yang sentiasa menginginkan pujian, penghormatan dan keutamaan,” katanya.

Catatan itu dimuat naik selepas rakaman yang memperlihatkan Tuanku Muhriz menegurnya secara terbuka tersebar di media sosial.

Dalam rakaman berkenaan, Tuanku Muhriz mempersoalkan tindakan Ismail mengutus surat kepada Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja yang, menurut baginda, menyatakan keputusan Ismail bersama Exco adalah sah dan baginda bukan lagi Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.

Baginda turut meminta Ismail tidak datang menemui baginda selagi surat tersebut tidak ditarik balik.

“I am Yang di-Pertuan Besar or not? You say I’m not,” kata baginda dalam pertukaran dialog itu.

Ismail menjawab ringkas, “Yes,” sambil mengangkat sembah dan dilihat tidak membalas dengan nada tinggi.

Dalam catatannya, Ismail menjelaskan kehadiran beliau ke Masjid Kariah Beting adalah sebagaimana yang direncanakan mengikut jadual mingguannya.

Beliau turut menghargai peranan masjid sebagai pusat ibadah dan penyatuan ummah, selain menjadi tempat mengeratkan silaturahim serta memupuk kebersamaan masyarakat.

Menurutnya, khutbah tersebut mengingatkan bahawa solat bukan sekadar kewajipan, malah asas membentuk kekuatan jiwa, memelihara keimanan dan membina akhlak mulia.

“Semoga Allah SWT membimbing kita untuk terus istiqamah dalam ibadah, memelihara akhlak dan menjadi insan yang membawa kebaikan kepada masyarakat,” tulisnya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat