FashionValet terima wang hampir RM40 juta daripada PNB dan Khazanah – pegawai bank

KUALA LUMPUR – Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Jumaat diberitahu, FashionValet Sdn. Bhd. (FashionValet) menerima empat transaksi wang hampir RM40 juta daripada Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) dan Permodalan Nasional Berhad (PNB) pada 2018.

Pengurus Perkhidmatan Perbankan, Public Bank Berhad Cawangan Bukit Damansara, Tay Lay Hong, 54, berkata, kemasukan wang itu diperoleh hasil semakan terhadap akaun bank syarikat fesyen tersebut.

Menurut beliau yang juga saksi pendakwaan kelima (SP5), terdapat dua transaksi dari Khazanah masing-masing pada 23 Mac (RM7.8 juta) dan 26 Mac (RM11.7 juta).

Selain itu, wang dari PNB pula diterima pada 4 Jun (RM11.9 juta) dan 20 Disember (RM8.3 juta), menurut laporan Malaysia Gazette.

Menurut saksi, pada 21 Ogos pula, terdapat transaksi keluar sebanyak RM11 juta dari FV dengan catatan transaksi PAYNET DIRECT DEBIT.

“Saya mengesahkan ini adalah transaksi fund disbursement di mana ini adalah transaksi yang dilakukan secara bulk payment (pembayaran pukal) melalui atas talian.

“Transaksi berkenaan memerlukan pengesahan atau kelulusan individu yang diberi kuasa bagi akaun syarikat itu,” katanya.

Bagaimanapun, Lay Hong tidak pasti siapa individu yang diberi kuasa untuk urusan perbankan dalam talian berkenaan.

Mahkamah sedang mendengar perbicaraan kes Datin Vivy Sofinas Yusof, 38, dan suaminya, Datuk Fadzarudin Shah Anuar, 37, selaku Pengarah FashionValet yang didakwa dengan niat bersama melakukan pecah amanah ke atas dana pelaburan Khazanah dan PNB.

Kesalahan itu didakwa dilakukan dengan membuat pembayaran berjumlah RM8 juta daripada akaun bank milik FashionValet kepada syarikat 30 Maple Sdn. Bhd. tanpa kelulusan Ahli Lembaga Pengarah FashionValet.

Dalam pernyataan saksinya, Lay Hong berkata, semakan terhadap akaun Public Bank penama Fadzarudin Shah Anuar mendapati kemasukan wang RM5 juta ke dalam akaun peribadinya dari syarikat 30 Maple pada 4 September.

“Saya juga telah membuat semakan keatas penyata bank bagi akaun penama Vivy Sofinas Yusof dan mendapati satu transaksi kemasukan wang dari syarikat 30 Maple pada tarikh 3 September sebanyak RM5 juta,” ujarnya.

Kata beliau, semakan terhadap kedua-dua akaun peribadi pasangan itu bagaimanapun menunjukkan pengeluaran tunai RM5.5 juta masing-masing pada 5 September ini dan dilakukan di tempat lain, bukan di cawangan Bukit Damansara.

Perbicaraan di hadapan Hakim Rosli Ahmad bersambung 3 November ini.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat